B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


UOB Malaysia lancar U-Energy, platform pembiayaan bersepadu pertama di Asia

UOB Malaysia lancar U-Energy, platform pembiayaan bersepadu pertama di Asia

08 Dis 2021

UOB Malaysia melancarkan U-Energy, platform pembiayaan bersepadu yang pertama di Asia, bagi memacu pembangunan dan penggunaan projek kecekapan tenaga untuk bangunan dan kediaman di negara ini.

Berikutan pelancaran U-Energy yang pertama di Singapura, UOB akan membantu perniagaan dan pemilik rumah di Malaysia untuk menjimatkan bil elektrik, mengurangkan pelepasan karbon dan juga mencapai matlamat kemampanan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei berkata, pihaknya telah bekerjasama dengan pemain industri strategik untuk mewujudkan ekosistem rakan kongsi dan penyelesaian yang memudahkan usaha kemampanan bagi pelanggannya.

Katanya, bagi perniagaan dan pemilik rumah, melaksanakan projek kecekapan tenaga di premis mereka mungkin mengambil banyak masa, pelaburan dan juga sumber.

“Penyelesaian hujung ke hujung yang disediakan oleh U-Energy akan memudahkan pelanggan kami mengakses perkhidmatan, daripada perundingan projek dan pembiayaan, kepada pelaksanaan, untuk menjimatkan kos tenaga dan mengurangkan jejak karbon.

“Ia juga menunjukkan peranan UOB sebagai pemangkin dan pemboleh dalam membentuk tingkah laku dan tindakan ke arah menempa masa depan yang mampan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Di Malaysia, platform U-Energy menampilkan 10 syarikat perkhidmatan tenaga (ESCO), yang boleh digunakan oleh pelanggan untuk projek kecekapan tenaga.

ESCO memainkan peranan penting dalam ekosistem dengan menyediakan teknologi dan perkhidmatan seperti perundingan projek, pengauditan tenaga reka bentuk yang mampan dan cekap dari segi kos, serta pelaksanaan dan pengurusan pengubahsuaian bangunan secara menyeluruh.

Secara purata, ESCO dalam platform U-Energy akan membantu pelanggan mengurangkan penggunaan tenaga sekurang-kurangnya sebanyak 20%.

U-Energy turut disokong agensi kerajaan seperti Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia dan Malaysian Green Technology Corporation.

Pemilik bangunan komersial dan perindustrian boleh memilih untuk terus membeli peralatan atau sistem cekap tenaga dengan pembiayaan hijau daripada UOB Malaysia.

Di bawah skim ini, pemilik bangunan boleh mendapat pinjaman sehingga RM25 juta dengan kemudahan pinjaman selama tempoh maksimum 7 tahun, tertakluk kepada sistem yang optimum dan saiz peralatan oleh rakan kongsi U-Energy.

Untuk membolehkan ia lebih cepat dipasarkan, permohonan pinjaman daripada pemilik bangunan yang merupakan pelanggan UOB Malaysia sedia ada akan menerima kelulusan yang pantas.

Sebagai alternatif, pemilik bangunan boleh menggunakan model ‘tenaga sebagai perkhidmatan’ yang mana UOB Malaysia akan memberi pinjaman hijau kepada rakan kongsi U-Energy tanpa kos pendahuluan kepada pemilik bangunan.

Bagi pemilik rumah, UOB Malaysia menawarkan pelan ansuran faedah sifar peratus sehingga 3 tahun apabila kad kredit UOB digunakan sebagai kaedah pembayaran untuk projek pengubahsuaian kecekapan tenaga.

Sumber: DagangNews

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon