B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Universiti swasta terbaik: UTP, UNITEN, MMU dan UniKL

Universiti swasta terbaik: UTP, UNITEN, MMU dan UniKL

06 Jul 2021

Empat Universiti Berkaitan Kerajaan Malaysia (GLU) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai universiti swasta terkemuka di negara ini yang terbukti melalui ranking serta penarafan konsisten di peringkat dunia dan dalam negara.

Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Universiti Multimedia (MMU) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dimiliki sepenuhnya Syarikat Berkaitan Kerajaan Malaysia (GLC) dan telah mendapat penarafan Quacquarelli Symonds (QS), Times Higher Education (THE), Penilaian Penyelidikan Malaysia (MyRA) dan Sistem Penarafan Universiti dan Kolej Universiti (Setara).

GLU dalam kenyataan semalam berkata UTP berada di kedudukan ke-70 dalam QS Asia Rankings 2021, manakala UNITEN di kedudukan ke-168, MMU di ranking ke-190 dan UniKL berada di kedudukan 291-300.

Empat universiti tersebut juga tersenarai dalam QS World University Rankings 2022, dengan UTP berada di tangga ke-414, UNITEN pada band 751-800, UniKL pada band 800-1000, diikuti MMU band 1001-1200.

Sementara itu, dalam senarai Asia University Rankings 2021, UTP berada di kedudukan ke-111, UNITEN di tangga 201-250, manakala UniKL dan MMU berada di ranking ke-401, menurut kenyataan itu lagi.

Dalam penarafan THE Young University Rankings 2021 yang diumumkan baru-baru ini – menyenaraikan universiti terbaik dunia yang berusia 50 tahun atau lebih muda, semua universiti juga telah mengekalkan kedudukan mereka yang kukuh.

UTP berada di kedudukan ke-134, UNITEN di band 251-300, MMU band 351-400 dan UniKL berada pada band 401.

Myra juga telah mengiktiraf prestasi cemerlang semua universiti dalam penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan.

UTP adalah satu-satunya universiti swasta di Malaysia dengan penarafan enam bintang, UNITEN meraih lima bintang manakala MMU dan UniKL memperoleh empat bintang.

Setara – instrumen penarafan yang menilai pengajaran dan pembelajaran – UTP dianugerahkan enam bintang atau status cemerlang, manakala tiga universiti lain mencapai penarafan lima bintang atau status cemerlang.

Naib Canselor UTP merangkap Pengerusi GLU Prof Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib berkata semua universiti telah mengambil bahagian dalam pelbagai inisiatif ranking dan penarafan kerana ini adalah sebahagian daripada usaha mereka untuk mengukuhkan kedudukan GLU dan penjenamaan sebagai rakan akademik yang bereputasi baik untuk pendidikan tinggi dan rakan penyelidikan yang berwibawa untuk industri.

“Satu daripada objektif penubuhan GLU adalah untuk memacu strategi kerjasama berhubung pengukuhan output akademik, meningkatkan usaha penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan sambil mewujudkan institusi mampan yang akan dapat menyumbang ke arah penciptaan ilmu, memberi pulangan kepada industri dan memberi impak kepada masyarakat. 

“Bersama-sama, GLU mempunyai potensi besar untuk berkembang dan menjadi Kumpulan Pendidikan Terkemuka Malaysia dan Pemain Pendidikan Global,” katanya.

Kenyataan Mohamed Ibrahim itu turut menyuarakan kenyataan ahli majlis GLU yang lain iaitu Naib Canselor UNITEN Prof Datuk Dr Kamal Nasharuddin Mustapha, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MMU Prof Datuk Dr Mazliham Mohd Su’ud dan Pemangku Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UniKL Prof Dr Shahrulniza Musa.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon