B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Unit Nexgram rancang bangun komplek perubatan bernilai RM1.6 bilion di Melaka

Unit Nexgram rancang bangun komplek perubatan bernilai RM1.6 bilion di Melaka

02 Apr 2021

Nexgram Biomedic Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh tidak langsung Nexgram Holdings Bhd (Nexgram) merancang membangunkan kompleks perubatan di Melaka dengan cadangan nilai pembangunan kasar RM1.6 bilion.

Syarikat itu hari ini memeterai memorandum persefahaman dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) untuk membeli 10.02 hektar tanah di Bukit Baru yang diperuntukkan bagi pembangunan projek Melaka Lifecare Specialist.

Projek pembangunan bercampur itu akan terdiri daripada antara lainnya sebuah bangunan hospital, unit pejabat kecil pejabat rumah (SoHo), pusat kecergasan, pusat penyelidikan biosains dan sebuah hotel tiga bintang dan kondotel, kata syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Kompleks perubatan itu dijangka dapat menampung keperluan penjagaan kesihatan rantau Asia yang lebih meluas.

“Inisiatif kerjasama awam-swasta ini adalah sejajar dengan usaha kerajaan menggalakkan pelabur berasaskan teknologi yang akan dapat membantu meningkatkan pengetahuan dan tahap kapasiti serta keupayaan rakyat Malaysia,” kata syarikat tersenarai di Pasaran ACE itu.

Pembangunan bercampur itu dijangka memberi sumbangan positif kepada Keluaran Dalam Negara Kasar Melaka, pekerjaan dan kebajikan sosial dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

“Pengumuman lanjut berkaitan cadangan penjualan dan pembelian itu akan dibuat dalam masa terdekat, sebaik sahaja butiran terperinci terma dan syarat telah dimuktamadkan,” kata Nexgram.

Nexgram Biomedic adalah syarikat bioteknologi yang ditubuhkan khusus untuk membangunkan peralatan perubatan baharu, ubatan dan teknologi sebagai menyokong inovasi dalam bidang penjagaan kesihatan.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon