TSM labur RM500 juta bangun industri silika di Terengganu - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


TSM labur RM500 juta bangun industri silika di Terengganu

TSM labur RM500 juta bangun industri silika di Terengganu

16 Mei 2023

TRG Silica (Marang) Sdn Bhd (TSM) akan membangunkan industri pengeluaran silika ultra tulen dan kristobalit yang juga bahan utama penghasilan kaca teknologi maju, bernilai RM500 juta di Mercang di sini, Julai ini.

Pengerusi Kumpulan Terengganu Silica Consortium Sdn Bhd, Datuk Seri Tengku Baharuddin Sultan Mahmud, berkata projek di kawasan seluas 1,000 hektar itu adalah yang pertama di Asia dan membabitkan tempoh pelaburan selama lima tahun.

Beliau berkata, pembangunan projek itu akan turut menawarkan 250 peluang pekerjaan untuk anak-anak tempatan.

Projek fasa pertama yang dijangka siap pada 2024, akan mengeluarkan produk silika terbabit pada kapasiti 2.6 juta tan metrik untuk kegunaan industri hiliran domestik serta antarabangsa.

“Pelaburan sebanyak RM500 juta bagi fasa satu ini turut membabitkan pembinaan sebuah terminal untuk penghantaran produk ke luar negara termasuk Korea Selatan, Taiwan dan China.

“Ini kerana produk yang dikeluarkan ini adalah paling tulen dan bagi menjamin kualitinya, ia tidak boleh dihantar menggunakan pelabuhan lain,” katanya pada sidang media selepas majlis pecah tanah projek itu di Kampung Jambu Bongkok, Mercang, di sini, hari ini.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli berangkat dan merasmikan majlis berkenaan.

Hadir sama, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Silica Consortium Sdn Bhd, N Surendran.

Tengku Baharuddin berkata, TSM juga bekerjasama dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Lembaga Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi mempromosi dan menggalakkan lebih banyak pelaburan asing dalam sektor hiliran, khususnya di Terengganu.

“Produk silika ultra tulen dan kristobalit ini adalah komposisi utama bagi keperluan pengeluaran produk industri hiliran kaca teknologi maju ‘Glass World’ seperti batu hasil kejuruteraan, kaca seramik dan kaca oftalmik yang mempunyai rintangan tinggi terhadap haba dan sebagainya.

“TSM akan menjadi pemangkin bagi pelaburan langsung asing (FDI) menerusi kewujudan industri hiliran silika seperti kaca telefon bimbit, televisyen dan sebagainya di Terengganu dan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, TSM turut bekerjasama dengan beberapa negara termasuk Jerman, Belgium dan Jepun bagi mendapatkan kepakaran berkaitan serta dalam aplikasi kecerdasan buatan (AI).

“Ini bagi menjana pengeluaran produk yang amat bermutu tinggi. Syarikat juga sedang berusaha untuk mencapai sasaran pelepasan karbon sifar melalui projek ini,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon