B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


TNB komited labur RM2.7 bilion selama 3 tahun percepat transformasi digital

TNB komited labur RM2.7 bilion selama 3 tahun percepat transformasi digital

15 Sep 2022

Tenaga Nasional Bhd. (TNB) berhasrat untuk mempercepatkan transformasi digitalnya bagi menyokong peralihan tenaga negara, memastikan pertumbuhan perniagaan yang berterusan untuk syarikat dan mempercepatkan agenda kemampanan.

Ini menyaksikan satu memorandum persefahaman ditandatangani antara syarikat utiliti negara itu dengan Microsoft sempena pelancaran Persidangan ICT (ICON 2022), persidangan digital tahunan TNB, pada Rabu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, kerjasama itu membolehkan kedua-dua pihak meneroka pemodenan asas digital untuk TNB bagi melaksanakan penggunaan luaran yang boleh mengubah perniagaan teras untuk menyokong tonggak strategik kumpulan Grid Masa Depan dan Memenangi Pelanggan, serta meneroka peluang dalam ruang peralihan tenaga.

Katanya, kedua-dua pihak juga bersetuju untuk bekerjasama mencari dan mengesahkan peluang yang berpotensi melalui beberapa siri projek perintis yang dikenal pasti dalam tempoh dua tahun.

“Pendigitalan adalah elemen penting dalam tunjang strategik Grid Masa Depan TNB, yang merupakan pembolehubah penting dalam menyampaikan peralihan tenaga negara dan untuk mempercepatkan aspirasi kemampanan TNB untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050,” katanya.

Beliau berkata dalam teks ucapan yang dibacakan Ketua Pegawai Penyelesaian Perniagaan Global TNB, Ahmad Hushairi Ibrahim ketika merasmikan persidangan tersebut dan menyaksikan majlis menandatangani MoU itu antara TNB dan Microsoft.

Majlis menandatangani memorandum persefahaman diwakili Ketua Pegawai Maklumat TNB, Azlan Ahmad (dua dari kiri) dan Pengarah Urusan Microsoft Malaysia, K. Raman, disaksikan Presiden Microsoft Asia Pacific, Andrea Della Mattea dan Ketua Pegawai Penyelesaian Perniagaan Global TNB, Ahmad Hushairi Ibrahim, semalam.

Grid Masa Depan TNB akan menjadi generasi grid pintar, automatik dan dipacu secara digital untuk memastikan kecekapan maksimum dan kebolehpercayaan bekalan kuasa.

Ia juga akan dilengkapi dengan keupayaan pemulihan diri untuk meminimumkan gangguan bekalan dan juga dijangka menyokong sumber kuasa dwi-arah daripada sumber tenaga teragih dan tenaga boleh diperbaharui (RE).

Menurut Baharin, TNB mengalu-alukan kerjasama dengan pelbagai vendor dan penyedia perkhidmatan teknologi tempatan dan antarabangsa dalam menyampaikan projek dan inisiatif digitalnya dan akan terus berbuat demikian pada masa hadapan.

Bagaimanapun, katanya, bagi mempercepatkan transformasi digital syarikat, TNB percaya dalam mewujudkan perkongsian strategik dengan rakan kongsi teknologi yang dipercayai boleh membantu dalam menawarkan khidmat nasihat, bimbingan dan kepakaran dalam bidang teknologi digital.

Beliau juga memberitahu, dalam usaha untuk mempercepatkan pendigitalan bagi Grid Masa Hadapan dan Memenangi Pelanggan, beberapa pelaksanaan pendigitalan utama dikenal pasti untuk Tempoh Kawal Selia 3 (RP3) di mana TNB komited untuk melabur RM2.5 hingga RM2.7 bilion dalam tempoh 3 tahun akan datang.

“Ini adalah selaras dengan sokongan berterusan TNB terhadap inisiatif yang diterajui kerajaan dalam memacu peralihan tenaga di Malaysia, mewujudkan lebih banyak nilai ekonomi melalui pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan peluang pekerjaan baharu dalam sektor tenaga.

“Di samping itu, ia juga bagi memastikan syarikat kekal dalam kedudukan untuk pertumbuhan perniagaan yang positif dan mencapai aspirasi sifar bersih menjelang 2050,” katanya.

Sumber: Dagangnews

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon