Johor sasar tarik pelaburan empat negara menjelang akhir tahun ini - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Johor sasar tarik pelaburan empat negara menjelang akhir tahun ini

Johor sasar tarik pelaburan empat negara menjelang akhir tahun ini

12 Sep 2022

 Johor meletakkan sasaran untuk menarik pelaburan daripada empat negara iaitu Jepun, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan United Kingdom bagi tempoh enam bulan terakhir tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri Lee Ting Han berkata pihaknya kini sedang giat melakukan perbincangan dengan negara terbabit, yang antara lainnya membabitkan pelaburan dalam sektor kimia, petrokimia, peranti perubatan dan pusat data.

Beliau berkata kerajaan negeri yakin Johor akan dapat menarik sejumlah pelaburan langsung asing (FDI) terutamanya melibatkan projek berskala besar.

“Untuk sasaran, kita (sekarang ini) tengah berbincang dengan pelbagai negara, setakat ini yang masih aktif adalah Amerika Syarikat dan United Kingdom untuk peranti perubatan dan pusat data. Manakala, Korea Selatan dan Jepun pula adalah sektor kimia dan petrokimia.

“Kita sedang usahakan untuk enam bulan kemudian, (bagaimanapun) anggaran pelaburan tidak dapat dijangkakan, sebab apabila mereka buat keputusan pelaburan akhir (FID) baharu mereka akan maklumkan (jumlah pelaburan),” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Keterlibatan SIRIM Bersama Industri Johor, di sini, hari ini.

Lee berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai sasaran jumlah pelaburan Johor bagi akhir tahun ini selepas negeri itu mencatatkan pelaburan tertinggi dalam negara bagi tempoh Januari sehingga Jun tahun ini iaitu sebanyak RM60.9 bilion.

Menurutnya, China merupakan penyumbang terbesar pelaburan Johor bagi tempoh Jan hingga Jun tahun ini dengan anggaran sebanyak RM40 bilion, antaranya melibatkan pelaburan di sektor pusat data diikuti Singapura dengan pelaburan RM4 bilion bagi sektor peranti perubatan dan petrokimia.

“Dari data sedia ada, enam bulan pertama ini negara China menyumbang 60 peratus (daripada keseluruhan pelaburan dicatatkan), negara kedua Singapura dan negara ketiga Korea Selatan yang melibatkan sektor kimia dan pemprosesan makanan,” katanya.

Lee berkata kerajaan negeri optimis untuk mencapai pelaburan yang lebih tinggi tahun ini bagi memastikan limpahan ekonomi terutama kepada rakyat.

“Kita tidak letakkan satu sasaran tepat (berapa jumlah pelaburan akhir tahun ini), tetapi kita memang jangka tahun ini adalah satu tahun yang sangat-sangat baik untuk negeri Johor ( terus berkembang),” katanya.

Johor mencatatkan pelaburan tahunan sebanyak RM12.3 bilion pada tahun lepas; RM11.9 bilion pada 2020 dan RM24.5 bilion pada 2019.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon