B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Tesla akan jadikan ekosistem EV Malaysia lebih kompetitif

Tesla akan jadikan ekosistem EV Malaysia lebih kompetitif

23 Jul 2023

Pembukaan stesen pengecas pertama Tesla Inc di Malaysia akan menjadikan ekosistem automotif tempatan lebih berdaya saing dan membantu memberi isyarat kepada pasaran global bahawa negara ini serius untuk membangunkan industri kenderaan elektrik (EV), kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz

Tengku Zafrul berkata memandangkan industri EV agak baharu di Malaysia, ramai pelabur tempatan dan asing masih menunggu kepastian dalam pasaran sebelum membuat sebarang keputusan pelaburan.

Beliau percaya bahawa pembukaan stesen pengecas Tesla akan membantu menyemai keyakinan dalam kalangan pelabur EV yang bukan sahaja berminat untuk melabur dalam kemudahan pengecasan tetapi juga mengambil bahagian dalam keseluruhan rantaian bekalan.

“Kita meliberalisasikan industri dan kita perlu mendorong. Kitai mahu memastikan peraturan itu jelas.

“Mereka juga ingin tahu berapa pantas kereta itu masuk. Justeru, bagi orang yang melabur dalam stesen pengecasan, mereka mahu melihat kita juga memulakannya. Tesla menunjukkan contoh yang baik dengan memasang stesen pengecas terlebih dahulu,” katanya kepada Bernama.

Pada 19 Julai lalu, Tengku Zafrul melancarkan stesen ‘supercharging’ Tesla di Pavilion di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, stesen pengecas EV pertama pembuat kereta terkemuka itu di negara ini yang merancang untuk membina sekurang-kurangnya 50 stesen pengecasan di seluruh negara.

Beliau berkata sembilan lokasi stesen pengecasan telah dikenal pasti termasuk di Bukit Jalil, Petaling Jaya dan Dengkil manakala di luar Lembah Klang adalah di Ipoh, Perak; Perai, Pulau Pinang; Seremban, Negeri Sembilan; dan Iskandar Puteri, Johor, dua lagi lokasi akan diumumkan tidak lama lagi.

Pada peringkat awal, lokasi stesen pengecasan akan tertumpu di bandar-bandar besar tetapi bukan sahaja terhad kepada pusat beli-belah kerana Tesla juga merancang untuk mempunyai stesen pengecasan di kawasan terbuka (outdoor), katanya.

Tengku Zafrul berkata banyak syarikat di Malaysia terlibat dalam rantaian bekalan membina stesen pengecas Tesla yang seiring dengan harapan kerajaan untuk mewujudkan kesan limpahan ketara kepada rakyat dan ekonomi secara keseluruhan.

“Malaysia mempunyai ekosistem elektrik dan elektronik (E&E) yang kukuh yang dibina sejak 50 tahun lalu terutama dalam perniagaan semikonduktor, ia merupakan komponen utama dalam pembuatan kereta EV.

“Ia sangat menggembirakan untuk melihat syarikat di Malaysia menyokong bukan sahaja Tesla tetapi keseluruhan industri, kerajaan komited untuk mempercepatkan kelulusan pembangunan infrastruktur supaya sepadan dengan standard bertaraf dunia selama tiga bulan,” katanya.

Mengulas mengenai keseimbangan dalam pasaran EV tempatan, Tengku Zafrul berkata memandangkan bilangan stesen pengecas EV menunjukkan aliran menaik, permintaan dan penawaran kereta EV akan turut menyusul kemudian.

“Justeru itu, pelabur kepada kemudahan pengecasan tersebut boleh mendapat pulangan modal dengan lebih cepat,” katanya.

Memetik tinjauan oleh syarikat kemudahan mengenakan bayaran, Tengku Zafrul berkata pulangan modal dalam pelaburan dalam stesen pengecasan berdasarkan persekitaran semasa, mungkin dalam tempoh dua hingga tiga tahun.

Kerajaan menyasarkan untuk mempunyai 10,000 stesen pengecas EV di seluruh negara menjelang tahun 2025 terdiri daripada 9,000 unit jenis arus ulang alik (AC) dan 1,000 unit jenis arus terus (DC).

Setakat ini lebih 1,000 stesen pengecas EV telah dipasang.

Tengku Zafrul berkata elektrifikasi besar-besaran sektor automotif dan industri pembuatan Malaysia sesuai dengan agenda karbon sifar bersih, alam sekitar, sosial dan tadbir urus Malaysia dan rantau ini.

Malaysia menyasarkan 15 peratus daripada jumlah keseluruhan industri (TIV) disumbangkan oleh EV dan kenderaan hibrid menjelang 2030 dan 38 peratus daripada TIV menjelang 2040.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon