B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia-Vietnam akan manfaatkan RCEP, CPTPP – Tengku Zafrul

Malaysia-Vietnam akan manfaatkan RCEP, CPTPP – Tengku Zafrul

21 Jul 2023

Malaysia dan Vietnam boleh bekerjasama dalam memanfaatkan keanggotaan dalam Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) serta Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata RCEP dan CPTPP akan mempertingkatkan usaha pemulihan ekonomi yang sedang dilaksanakan oleh kedua-dua negara, pascapandemik.

“Perjanjian ini memainkan peranan penting dalam memajukan agenda pertumbuhan progresif, mampan dan inklusif kita, memperkukuh usaha kita ke arah masa depan yang berdaya tahan dan makmur,” katanya pada Forum Perniagaan Malaysia-Vietnam di sini, pada Jumaat.

Beliau berada di sini sebagai sebahagian daripada lawatan rasmi dua hari Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di negara ini.

Sementara itu, beliau berkata penyertaan United Kingdom (UK) sebagai anggota baharu CPTPP baru-baru ini menandakan perkembangan penting dalam pakatan perdagangan ini, malah UK juga menjadi negara bukan pengasas pertama di luar rantau Asia Pasifik yang menyertai perjanjian perdagangan mega ini.

“Penerimaan ke atas UK itu jelas menunjukkan daya tarikan dan manfaat CPTPP, dan ini pastinya akan menggalakkan negara lain untuk mempertimbangkan kelebihan menjadi anggota, serta penyepaduan dan kerjasama ekonomi yang lebih erat,” katanya.

Tengku Zafrul berkata CPTPP menyediakan banyak peluang untuk Malaysia dan Vietnam menonjolkan potensi pasaran masing-masing, memperkukuh sektor perkhidmatan, memudahkan aliran pelaburan dan memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana.

CPTPP juga merangsang pertumbuhan mampan dan inklusif, dengan peruntukan yang melindungi hak pekerja, perlindungan alam sekitar dan pembangunan mampan.

“Menggalakkan amalan perniagaan yang bertanggungjawab dan keterangkuman sosial menyumbang kepada kemakmuran jangka masa panjang dan kesejahteraan negara yang menyertainya, termasuk Malaysia dan Vietnam,” katanya.

Malaysia dan Vietnam juga ialah rakan kongsi yang aktif dalam Asean, bekerjasama untuk menggalakkan keamanan, kestabilan, kemakmuran dan penyepaduan dalam rantau ini.

“Marilah kita memanfaatkan penyertaan bersama kita dalam pelbagai platform serantau dan antarabangsa untuk terus menangani cabaran dan memajukan kepentingan bersama kita demi faedah kedua-dua negara dan pertumbuhan mampan, seimbang dan inklusif Asean,” katanya.

Tengku Zafrul menekankan bahawa Forum Perniagaan Malaysia-Vietnam boleh membangunkan pencapaian penting yang jelas, yang dicapai dalam 50 tahun pertama hubungan diplomatik Malaysia dan Vietnam.

“Semoga forum ini menjadi pemangkin untuk hubungan yang baharu, kerjasama yang membuahkan hasil, serta masa depan yang makmur untuk kedua-dua negara kita,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon