B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Tambah baik prosedur jalankan perniagaan, tarik pelabur

Tambah baik prosedur jalankan perniagaan, tarik pelabur

24 Feb 2023

Kerajaan akan menambah baik prosedur menjalankan perniagaan bagi mengurangkan birokrasi termasuk memberikan insentif kepada pihak berkuasa tempatan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata ia adalah langkah yang akan memudah cara pelaksanaan pelaburan yang telah diluluskan bagi memastikan usaha pelaburan dapat dipercepat.

“Kajian Bank Negara menunjukkan, manfaat pelaburan langsung asing (FDI) dilihat semakin mengecil ekoran ketersediaan insentif yang tinggi dan pelaburan bernilai tambah rendah.

“Malaysia mempunyai lebih 100 jenis insentif dan lebih 30 agensi promosi pelaburan (IPA). Dengan pola perubahan global susulan perkembangan teknologi dan perubahan iklim, evolusi insentif di Malaysia diperlukan untuk menyokong kegiatan ekonomi,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2023 di sini, hari ini.

Bergerak ke hadapan, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 akan diumumkan pada suku ketiga tahun ini untuk melakar hala tuju pembangunan perindustrian yang bertumpukan aktiviti berkualiti tinggi dan pengambilan bakat tempatan.

“Selari dengan pelan ini, agensi promosi pelaburan dan insentif pelaburan akan distruktur semula ke arah kadar cukai berperingkat berasaskan hasil seperti mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi, mendalami rantaian bekalan dengan firma tempatan dan mewujudkan kelompok industri baharu.

“Pemantauan pelaburan yang menerima insentif juga akan diperkasa untuk memastikan manfaat yang diharapkan dapat diperoleh sepenuhnya oleh negara dan rakyat,” katanya.

Anwar berkata, antara isu utama pelabur asing ialah kurangnya bakat tempatan yang membolehkan mereka melabur dan beroperasi di Malaysia.

“Sedangkan pada masa sama, kita memberi biasiswa kepada lebih seribu pelajar setiap tahun untuk bidang kejuruteraan di Jepun, Korea, Perancis dan Jerman.

“Bagi menangani isu ini, kerajaan akan menyelaras kerjasama antarabangsa dengan syarikat multinasional asing untuk menyediakan peluang perantisan di negara pemegang biasiswa menuntut. Pelajar ini juga dibenarkan menyempurnakan bon perkhidmatan mereka dengan syarikat ini,” katanya.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon