B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Kerajaan tak rancang kaji semula struktur cukai bidang automotif

Kerajaan tak rancang kaji semula struktur cukai bidang automotif

23 Feb 2023

Kerajaan buat masa ini tidak mempunyai perancangan mengkaji semula struktur cukai sedia ada bagi sektor automotif, khususnya duti eksais yang penting dalam pembangunan industri berkenaan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata duti eksais memainkan peranan penting dalam menggalakkan aktiviti nilai tambah, terutama pemasangan tempatan (CKD) dan pembangunan vendor.

“(Duti eksais) ini adalah untuk menggalakkan vendor tempatan mengambil bahagian dalam pembangunan industri automotif di Malaysia,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) mengenai sama ada kerajaan akan mengkaji semula struktur cukai sedia, yang memberi kesan kepada harga kenderaan, dan pada masa sama, mampu mengurangkan harga kenderaan.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, kerajaan menawarkan insentif cukai dalam bentuk pengecualian atau pengurangan duti eksais serta cukai jualan, selain ke atas duti import bagi komponen import untuk aktiviti pemasangan tempatan kenderaan.

“Kadar atau tahap insentif yang diberikan pula bergantung kepada merit pelan perniagaan seperti jumlah pelaburan, pembangunan vendor terutama vendor tempatan, pemindahan teknologi serta pelan untuk eksport.

“Selain mekanisme penilaian insentif untuk pengurangan duti dan cukai kenderaan, produk automotif seperti kenderaan yang dipasang sepenuhnya (CBU) dan CKD serta komponen yang diimport juga berpeluang menikmati duti import pada kadar lebih rendah atau sehingga sifar peratus di bawah Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan itu membolehkan kerajaan membangunkan industri automotif tempatan yang berdaya saing melalui bahan ekonomi hasil daripada aktiviti nilai tambah, selain mengharapkan harga kenderaan berkurangan.

Menjawab soalan tambahan Azahari Hasan (PN-Padang Rengas), mengenai sama ada kerajaan bersetuju untuk menghapuskan duti eksais yang disifatkan tinggi, secara berperingkat, Tengku Zafrul berkata, duti eksais bagi kenderaan mampu milik, terutama harga kereta di bawah RM50,000 adalah antara dua hingga lima peratus, berbanding kadar duti eksais lebih tinggi 70 hingga 105 peratus adalah bagi kereta mewah.

“Kita harapkan dengan kemajuan teknologi, harga kereta akan turun dengan permintaan lebih tinggi di masa akan datang,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa harga kenderaan tidak dikawal oleh kerajaan sebaliknya dipengaruhi daya pasaran seperti kos komponen digunakan, kos pengangkutan dan logistik, insurans, kadar pinjaman serta kos teknologi.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon