B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Taman Industri Halal Perak HIP nadi ekonomi baharu negeri – Saarani

Taman Industri Halal Perak HIP nadi ekonomi baharu negeri – Saarani

21 Ogo 2023

Perak bakal mewujudkan Taman Industri Halal pertamanya, Perak@Lekir (Perak HIP), dengan nilai pembangunan kasar (GDV) mencecah RM1 bilion, sekali gus menjadi nadi ekonomi baharu negeri.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata projek yang dilaksanakan menerusi Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) itu dijangka beroperasi sepenuhnya pada 2025, membabitkan keluasan tanah 43 hektar dengan tiga fasa pembangunan.

“Fasa pertama RM100 juta merangkumi pembangunan infrastruktur yang dijangka siap pada 2024.

“.. ia dibangunkan sepenuhnya oleh PPPNP dan projek ini bakal menjadi nadi ekonomi baharu negeri ini selain berperanan sebagai platform bagi pengusaha dan pemilik perniagaan halal untuk memasarkan produk mereka ke pasaran global,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata Perak HIP adalah kesinambungan daripada program lembu tempatan dilaksanakan oleh Perak SADC sejak 2022 dan bakal menyediakan kira-kira 300 peluang pekerjaan kepada penduduk setempat, selain peluang projek untuk kontraktor G1 Bumiputera.

Ia bakal dilengkapi pusat pemprosesan daging, kompleks penyembelihan dan pemprosesan, pusat kajian dan pembangunan daging halal, pusat pemprosesan ayam serta kilang pemprosesan makanan haiwan.

Terdahulu, Saarani menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Perak HIP di Lekir di sini yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Datuk Mohd Zolkafly Harun dan Ketua Pegawai Eksekutif Perak SADC Yahanis Yahya.

Saarani berkata projek pembangunan itu, yang terletak di lokasi strategik dan dilengkapi fasiliti canggih, bakal mendorong pertumbuhan inovasi sekali gus menarik pelabur untuk terlibat secara langsung.

“Perak HIP adalah contoh terbaik bagaimana negeri ini berusaha untuk membangunkan industri halal yang kukuh dengan menyediakan kemudahan-kemudahan yang komprehensif dan infrastruktur yang menyokong pertumbuhan pesat dalam sektor ini.

“Perak SADC juga komited untuk melabur sejumlah RM20 juta dalam tempoh dua tahun pertama yang antaranya untuk pembinaan jejambat bagi menghubungkan Lebuh Raya Persisiran Pantai Barat (WCE) terus kepada Perak HIP bagi memastikan kelancaran logistik,” katanya.

Dalam majlis sama, turut diadakan penyerahan replika cek bernilai RM20 juta daripada Agrobank kepada Perak SADC bagi membiayai para peserta yang terlibat dalam Perak HIP.

Turut berlangsung penyerahan surat sokongan daripada Maybank Islamic Berhad dan Perak SADC serta pemeteraian memorandum usaha sama antara Perak Agro Farm Sdn Bhd, Ladang Lekir Sdn Bhd dan Eurofresh Sdn Bhd.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon