B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Projek Rintis Catat Kejayaan Besar, Mk Land Sasar Bangunkan Lebih Banyak Ladang Solar

Projek Rintis Catat Kejayaan Besar, Mk Land Sasar Bangunkan Lebih Banyak Ladang Solar

23 Ogo 2023

Pemaju hartanah, MK Land Holdings Berhad (MK Land) merancang untuk mewujudkan lebih banyak ladang solar di negeri-negeri di utara Semenanjung terutamanya Kedah susulan kejayaan projek pertamanya, loji solar fotovoltaik (PV) berskala besar dengan kapasiti 10.95 megawatt (MW) di sini.

Pengarah Solar Citra Sdn Bhd (SCSB), Kamarulzaman Abu Bakar berkata projek rintis di Lembah Beriah, Kerian telah mula membekalkan tenaga solar kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) sejak Jun lalu dengan sasaran kutipan kira-kira RM400,000 sebulan.

“Berdasarkan kejayaan di Lembah Beriah, Solar Citra Sdn Bhd milik penuh MK Land telah dipilih pada 8 Ogos lalu oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) sebagai salah satu pengeluar tenaga solar di bawah Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP) di Kulim, Kedah. 

“SCSB bersama Total Energies Renewables SAS dianugerahkan kuota 30 megawatt (MW) di tanah berkeluasan 52 hektar iaitu tiga kali ganda keluasan di Lembah Beriah menjelang 2025,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas meraikan kejayaan MK Land mencapai pengoperasian komersial loji janakuasa solar fotovoltaik berskala besar 10.95 MW di bawah skim projek Solar Skala Besar 4 (LSS4).

Turut hadir Pengerusi MK Land, Felina Mustapha Kamal, Pengarah Urusan Solarvest, Lim Chin Siu dan Pengurus Teknikal GoodWe Malaysia, Muhammad Farhan Zainuddin.

SCSB telah melantik Solarvest Holdings Berhad sebagai penyedia penyelesaian kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) untuk projek di Lembah Beriah di atas tanah berkeluasan 16 hektar. 

Pada Julai 2021, SCSB menganugerahkan kontrak EPCC kepada Atlantic Blue Sdn. Bhd, anak syarikat Solarvest dan GoodWe selaku subkontraktor yang juga pengeluar dan pembekal peranti penyongsang solar projek itu. 

MK Land kemudiannya menandatangani perjanjian pembelian tenaga solar dengan Tenaga Nasional Berhad pada Ogos 2021 untuk tempoh 21 tahun selepas tapak itu ditauliahkan pada 30 Dis 2022. 

Kamarulzaman berkata loji solar PV baharu itu siap tujuh bulan lebih awal dari masa yang telah ditetapkan dan ia membuktikan keupayaan serta komitmen pihaknya dalam penyampaian kejuruteraan dan penyelesaian teknikal untuk projek LSS4. 

“Ladang solar ini menggunakan lebih 32,000 panel suria dengan kos RM52 juta dan ia akan menjana tenaga elektrik pada kadar 11 MW yang disalurkan kepada Pencawang Masuk Utama (PMU) Bukit Merah sebagai sumber tenaga baharu. 

“Melalui GoodWe, kita menggunakan inovasi teknologi terkini dalam menghasilkan peranti penyongsang solar, stesen voltan sederhana termasuk teknologi komunikasi talian kuasa yang memudahkan kawalan jauh melalui kabel arus ulang alik sederhana untuk mengurangkan kos sistem,” katanya. 

Katanya pihaknya berperanan membina aset tenaga boleh diperbaharui di seluruh Semenanjung selain menyumbang kepada aspirasi negara untuk mencapai neutraliti karbon menjelang 2050.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon