B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Syarikat tempatan berpeluang tembusi pasaran luas AI

Syarikat tempatan berpeluang tembusi pasaran luas AI

28 Jan 2021

Syarikat Malaysia mempunyai keistimewaan dan kemampuan untuk menembusi pasaran yang luas dalam bidang kecerdasan buatan (AI) di rantau ini dengan memanfaatkan sepenuhnya teknologi berkenaan dalam pelbagai bidang.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Azman Mahmud, penggunaan AI dan teknologi berkaitannya adalah langkah penting dalam memanfaatkan syarikat Malaysia dengan teknologi maju seperti Perkilangan Pintar, Bandar Pintar, Grid Pintar dan Perkhidmatan Pintar.

Beliau berkata, melalui proses pelaksanaan AI dalam pelbagai sektor, pihaknya juga melihat terdapat banyak peserta tempatan berkembang dari pengimport teknologi menjadi pengeksport penyelesaian.

Katanya, aplikasi AI bukan sahaja terhad kepada perkhidmatan tetapi semakin penting dalam sektor pembuatan, yang mana berdasarkan laporan Accenture and Frontier Economics, diunjurkan teknologi yang dipacu AI dapat meningkatkan produktiviti pekerja sehingga 40 peratus dalam 16 industri menjelang 2035.

Jelasnya, AI mempunyai ciri khas untuk melakukan kawalan kualiti, memendekkan masa reka bentuk, mengurangkan pembaziran bahan, meningkatkan penggunaan semula pengeluaran serta anggaran penyelenggaraan.

“Saiz pasaran global AI bernilai AS$39.9 bilion pada 2019 dan dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) 42.2 peratus dari 2020 hingga 2027.

“Pasaran perisian AI global diunjurkan mencapai sekitar AS$126 bilion pada 2025,” katanya pada pelancaran program ‘Kecerdasan Buatan bagi Syarikat Kecil dan Sederhana (PKS) (AI4S) yang diadakan secara maya semalam.

Azman berkata, penggunaan AI juga kini semakin penting dalam era pandemik yang tidak menentu ketika ini dengan peluang muncul bagi sistem komputer dipacu AI untuk memerangi wabak itu.

Beliau berkata, beberapa syarikat teknologi gergasi dan syarikat permulaan bekerjasama untuk pencegahan, mengekang dan membendung penularan virus.

Katanya, pada peringkat domestik, MIDA secara aktif berhubung dengan konsortium penyelidik seperti Big Data Research Excellence Consortium (BIDAREC) untuk memacu Analitik Data Besar dan AI bagi mengunjurkan dengan lebih baik trend berkaitan COVID-19.

“Inisiatif Penjagaan Kesihatan Digital CREST adalah untuk mengoptimumkan Kecerdasan Buatan dan Analisis Data untuk meramalkan dan mencegah penyebaran COVID-19,” katanya, sambil menambah permintaan untuk teknologi semakin meningkat dengan norma kerja baharu.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon