B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Syarikat Malaysia catat prestasi baik dalam ESG dalam kalangan rakan setara di ASEAN – Laporan

Syarikat Malaysia catat prestasi baik dalam ESG dalam kalangan rakan setara di ASEAN – Laporan

06 Apr 2022

Syarikat senaraian awam (PLC) Malaysia mencatatkan prestasi yang baik dalam faktor alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam kalangan rakan setara mereka di ASEAN berdasarkan petunjuk ESG utama, menurut satu laporan.

Penerbitan penyelidikan bertajuk ‘Positioning Corporate Malaysia for a Sustainable Future’ yang dikeluarkan oleh PriceWaterhouseCoopers (PwC) dan Capital Markets Malaysia (CMM) hari ini menekankan kemajuan korporat Malaysia dalam kemampanan dan trajektori peralihan secara keseluruhannya serta usaha negara dalam menggalakkan pelaburan mampan.

“Sebanyak 28 syarikat Malaysia mewakili sebagai konstituen dalam Indeks Pemimpin ESG MSCI All Country World Index (ACWI). Indeks itu terdiri daripada syarikat permodalan besar dan sederhana di negara pasaran maju dan sedang pesat membangun.

“Syarikat Malaysia juga ke hadapan dalam menerima piawaian global, dengan sembilan syarikat pada masa ini komited terhadap sasaran pengurangan pelepasan berasaskan sains iklim melalui inisiatif Sasaran Berasaskan Sains (SBTi),” menurut kenyataan bersama oleh PwC dan CMM hari ini.

Malaysia berada pada kedudukan kedua tertinggi dalam kalangan rakan setara di ASEAN untuk Indeks Pemimpin ESG MSCI ACWI dan petunjuk SBTi, katanya.

Pengerusi CMM dan Timbalan Ketua Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC)  Datuk Zainal Izlan Zainal Abidin berkata permintaan yang meningkat untuk pelaburan mampan dan aset mampan telah meletakkan pasaran modal dalam kedudukan unik untuk memacu perubahan yang bermakna dalam amalan kemampanan dalam kalangan korporat.

“Pelan Induk Pasaran Modal 3  SC, meliputi tempoh 2021 hingga 2025, telah menggariskan inisiatif untuk membentuk ekonomi pihak berkepentingan dengan menggerakkan lebih banyak modal ke arah perniagaan yang mampan.

“Menyedari bahawa perniagaan akan memerlukan pembiayaan yang besar untuk menyahkarbon dan peralihan kepada sifar bersih, SC sedang mengusahakan  rangka kerja untuk instrumen berasaskan pasaran bagi membolehkan peralihan kewangan di Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, penerbitan itu turut menggariskan cabaran dalam mengukur dan membandingkan usaha ESG dalam pelbagai organisasi.

“Laporan itu mengetengahkan beberapa amalan terbaik yang diambil oleh PLC dan organisasi Malaysia melalui 10 kajian kes.

“Perbandingan untuk syarikat utama dalam empat penyedia penarafan ESG mendapati bahawa daripada 41 syarikat, hampir separuh daripadanya (19) muncul sekali sahaja dan hanya satu syarikat muncul secara konsisten dalam keempat-empat penarafan,” menurut kenyataan itu.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon