B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Syarikat Jepun di Malaysia jangka keuntungan daripada operasi catat trend meningkat – Jetro

Syarikat Jepun di Malaysia jangka keuntungan daripada operasi catat trend meningkat – Jetro

21 Feb 2023

Kaji selidik oleh Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (Jetro) mendapati bahawa peratusan syarikat Jepun di Malaysia yang menjangka keuntungan daripada operasi telah meningkat, daripada 50.0 peratus pada 2020 kepada 59.7 peratus pada 2021 dan 63.0 peratus pada 2022.

Menurut kaji selidik itu, unjuran keuntungan daripada operasi pada 2023 menunjukkan bahawa peratusan mereka yang menjangka kemerosotan menurun dengan ketara di semua enam negara ASEAN.

“Di Malaysia, peratusan ‘bertambah baik’ meningkat sedikit kepada 47.4 peratus manakala peratusan ‘merosot’ menurun sebanyak 12.5 mata peratusan daripada 19.9 peratus kepada 7.4 peratus,” lapor Jetro.

Mengenai hala tuju pembangunan perniagaan dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang, sebanyak 48.4 peratus daripada syarikat Jepun di Malaysia menyatakan bahawa mereka akan berkembang, naik 5.2 mata peratusan daripada 43.2 peratus pada tahun sebelumnya.

Katanya kadar kenaikan itu adalah yang terbesar dalam kalangan enam negara-negara Asean utama.

Kos buruh dalam sektor pembuatan di Malaysia sebanyak 21.1 peratus dan kos bahan menyumbang 58.5 peratus.

Berbanding dengan kaji selidik pada 2019, Malaysia merupakan satu-satunya negara dalam kalangan enam negara-negara Asean utama yang mencatatkan penurunan dalam nisbah kos bahannya.

Sementara itu, penilaian positif terhadap persekitaran perniagaan Malaysia berada pada 60.5 peratus, dengan responden menyatakan kemudahan bahasa dan komunikasi serta persekitaran kehidupan untuk ekspatriat sebagai kelebihan.

Kos buruh, prosedur visa/permit kerja dan tahap kadar perolehan dinyatakan sebagai risiko. Ini terutamanya, peratusan yang tinggi syarikat melaporkan “kadar pengekalan pekerja” sebagai masalah pengurusan.

Menurut kaji selidik itu, “dalam kalangan enam negara-negara Asean utama, Malaysia mempunyai jumlah syarikat tertinggi yang menjawab bahawa mereka mempunyai sasaran berkaitan penyahkarbonan, pada 23.1 peratus.”

“Isu-isu yang dinyatakan termasuklah kos yang meningkat, dasar kerajaan yang tidak jelas dan kesedaran yang rendah. Terdapat juga suara yang berpandangan bahawa kekurangan insentif untuk penyahkarbonan sebagai satu isu,” katanya.

Ia turut menyatakan bahawa kesedaran mengenai isu hak asasi manusia dalam rantaian bekalan adalah tinggi di Malaysia dalam kalangan enam negara-negara Asean utama, dengan 65.7 peratus melihatnya sebagai isu pengurusan.

Dapatan itu, yang merupakan kaji selidik ke-36 sejak 1987, telah dijalankan dari 22 Ogos 2022 hingga 21 Sept 2022.

Kaji selidik itu termasuk Vietnam, Thailand, Singapura, Indonesia, Malaysia dan Filipina.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon