B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Hospital swasta dengan pelaburan RM860 juta bakal dibina

Hospital swasta dengan pelaburan RM860 juta bakal dibina

22 Feb 2023

Sebuah hospital swasta baharu, KL International Hospital (KLIH) akan dibina di sini, dengan cadangan pelaburan berjumlah RM860 juta.

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan KL Wellness City dalam kenyataan bersama pada Selasa memaklumkan KLIH yang dijangka memulakan operasinya pada suku pertama 2026, bakal mewujudkan lebih 3,000 peluang pekerjaan.

“Hospital dengan 624 katil dan berpotensi diperluaskan kepada 1,000 katil itu, akan menawarkan ekosistem perkhidmatan penjagaan kesihatan yang menyeluruh dan bersepadu termasuk fasiliti kesihatan serta kecergasan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan hospital berkenaan akan dilengkapi dengan dengan teknologi canggih dan peralatan perubatan terkini seperti 22 dewan bedah (OT) termasuk angio hibrid, pengimejan resonans magnetik (MRI) OT serta pembedahan robotik.

Projek KLIH diumumkan pada acara media yang dianjurkan KL Wellness City dan dirasmikan bersama oleh Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Arham Abdul Rahman serta Pengarah Urusan KL Wellness City Datuk Dr Colin Lee.

Sementara itu, Arham berkata projek hospital swasta berkenaan akan membawa manfaat ekonomi kepada negara dari segi mewujudkan pekerjaan berkualiti tinggi dengan 95 peratus daripadanya adalah untuk rakyat Malaysia.

“Ini termasuk 460 pakar perubatan dan doktor, 1,972 jururawat dan 278 profesional kesihatan bersekutu seperti ahli fisioterapi, radiografi, ahli teknologi perubatan, ahli farmasi dan juruteknik, selain meningkatkan penawaran terhadap penjagaan kesihatan berkualiti dan kepakaran perubatan.

“Pada akhirnya, ia menyumbang ke arah menjadikan Malaysia sebagai hab pelancongan perubatan di rantau ini,” katanya.

Beliau berkata kerajaan melalui MIDA telah menyediakan insentif untuk sektor penjagaan kesihatan termasuk potongan cukai dan sokongan kepada hospital terpilih, bagi menjadikan sektor itu lebih berdaya saing di peringkat serantau dan menarik minat pelabur.

Setakat ini, MIDA telah meluluskan insentif kepada 86 fasiliti penjagaan kesihatan swasta dengan jumlah pelaburan RM11.2 bilion, yang mewujudkan lebih 18,000 peluang pekerjaan.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon