Solarvest Raih Kontrak Pasang Sistem Solar Kilang Dexcom Di Batu Kawan - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Solarvest Raih Kontrak Pasang Sistem Solar Kilang Dexcom Di Batu Kawan

Solarvest Raih Kontrak Pasang Sistem Solar Kilang Dexcom Di Batu Kawan

26 Jul 2023

Solarvest Holdings Bhd memperoleh kontrak daripada Dexcom Malaysia Sdn Bhd bagi pemasangan sistem fotovolta (PV) solar 3.6 megawatt puncak (MWp) di kemudahan pengeluarannya di Batu Kawan, Pulau Pinang.

Dexcom adalah anak syarikat DexCom Inc yang berpangkalan di Amerika Syarikat dan Batu Kawan merupakan kemudahan pembuatan pertamanya di luar negara.

Dalam kenyataan hari ini, Solarvest berkata syarikat tersebut berperanan sebagai penyedia aspek kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan bagi pemasangan PV solar di bumbung untuk kemudahan bangunan utama serta ruang tempat letak kereta, yang membolehkan Dexcom mengurangkan 3,190 tan karbon dioksida.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Solarvest, Davis Chong Chun Shiong berkata peningkatan pengiktirafan kepentingan kelestarian dalam operasi perniagaan yang semakin ketara telah melonjakkan penerimagunaan tenaga bersih dalam kalangan syarikat.

“Berikutan itu, perancangan kerja-kerja syarikat kekal kukuh dengan jumlah perolehan kontrak membabitkan kapasiti kira-kira 2.5 gigawatt (GW) di serata Malaysia, Taiwan, Filipina, Vietnam, Indonesia, Singapura dan Thailand.

“Selain itu, kami juga menyasarkan untuk meningkatkan lagi nilai perolehan kontrak semasa bernilai RM550 juta dengan memanfaatkan kuota aset PV solar 800 megawatt (MW) di bawah Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP),” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Arham Abdul Rahman menyifatkan pelaburan berterusan Dexcom untuk meningkatkan operasinya adalah sejajar dengan matlamat Malaysia bagi mencapai pelepasan sifar bersih karbon seawal 2050.

“Langkah ini tidak hanya memaparkan tanggungjawab korporat Dexcom, tetapi turut menjadi contoh kepada perniagaan yang mahu menyumbang kepada aspek kelestarian Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, MIDA komited untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan mampan pilihan oleh kalangan penggiat utama rantaian nilai global.

Sehubungan itu, kehadiran penggiat tempatan yang mantap seperti Solarvest, hanya mengukuhkan lagi komitmen MIDA.

“Kami berhasrat untuk menerapkan aspek pertumbuhan lestari dan masa depan Malaysia yang lebih hijau, seiring dengan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) dan Dasar Pelaburan Baharu (NIP),” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon