B. Malaysia
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Solarvest dapat kontrak solar RM66j di Perak

Solarvest dapat kontrak solar RM66j di Perak

04 Ogo 2021

Unit Solarvest Holdings Bhd, Atlantic Blue Sdn Bhd telah memperoleh kontrak bernilai RM66 juta daripada Grooveland Sdn Bhd sebagai kontraktor utama kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bagi pembangunan loji fotovolta solar berskala besar (LSSPV) 17.36MW di Perak.

Dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata kontrak yang diperoleh itu akan memberi sumbangan positif kepada aset bersih dan pendapatan sesaham Solarvest dan kumpulan syarikatnya bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2022 dan seterusnya sehingga projek itu selesai.

Dalam kenyataan berasingan, ia berkata dengan kontrak terkini itu, tempahan EPCC Solarvest baharu yang diperoleh daripada program LSS @ Mentari meningkat kepada kira-kira RM196 juta, meningkatkan jumlah perolehan nilai kontrak yang belum dibilkan ke paras tertinggi mencecah RM400 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Solarvest, Davis Chong Chun Shiong, berkata aliran pelaburan untuk projek solar telah berkembang pesat kerana lebih banyak pemain utama industri tenaga yang tidak boleh diperbaharui seperti minyak dan gas menyalurkan perbelanjaan pengembangan mereka ke sektor pertumbuhan tinggi ini.

“Dorongan untuk ekonomi kitaran dan rantaian nilai hijau juga memacu pemain industri tempatan beralih kepada tenaga boleh diperbaharui dan pada masa yang sama, industri solar di Malaysia memperoleh daya tarikan daripada pelabur asing kerana Asia Tenggara kini menjadi rantau pertumbuhan utama seterusnya,” kata beliau.

Chun Shiong berkata, prospek Solarvest di luar Malaysia juga cerah dan positif kerana usaha meneroka pasaran luar negara seperti Taiwan dan Filipina dijangka memasuki peringkat seterusnya dengan keputusan tender dijangka diumumkan dalam waktu dekat.

“Lebih kurang 30 peratus daripada sekitar 1,000 MW dalam buku tender kami adalah dari dua negara ini dan apabila pendapatan dari Taiwan dan Filipina mula masuk, kami menjangkakan tahap pertumbuhan yang tinggi untuk kumpulan,” tambah beliau.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X