B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


SilTerra perkenal teknologi pembuatan baharu
berasaskan C-SOI

SilTerra perkenal teknologi pembuatan baharu
berasaskan C-SOI

20 Jan 2022

SilTerra Malaysia Sdn. Bhd. memperkenalkan teknologi pembuatan baharu bagi sistem mikroelektromekanikal (MEMS) dan peranti fotonik berasaskan wafer Cavity

Silicon-On-Insulator (C-SOI).

Ia dihasilkan oleh Okmetic, pengeluar wafer silikon dengan nilai tambah tinggi yang berpangkalan di Finland.

Pengarah Urusan Dagang NeXchange Bhd. (DNeX) yang juga Pengerusi Eksekutif SilTerra, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, sebagai salah satu pengguna awal dalam faundri tulen yang memperkenalkan teknologi berasaskan CSOI untuk peranti MEMS dan fotonik, ia akan mengukuhkan dan meluaskan tawaran SilTerra dalam pasaran ini.

Katanya, pada masa hadapan, kumpulan akan terus melabur dan meningkatkan tawaran teknikal bagi memenuhi permintaan pasaran.

“Ini semua merupakan sebahagian daripada komitmen kami untuk mengubah SilTerra menjadi pemain faundri khusus bertaraf dunia dari segi kecemerlangan operasi dan kemajuan teknologi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

SilTerra merupakan pelaburan strategik DNeX dan Beijing Integrated Circuit Advanced Manufacturing and High-End Equity Investment Fund Center (Limited Partnership) (CGP Fund).

Wafer C-SOI dibuat khusus untuk keperluan SilTerra dan bersesuaian bagi aplikasi dan piezosensor, micromirror, accelerometer, mikrofon, MEMS inersia, resonator dan peranti microfluidic merentasi pasaran pengguna, perubatan, perindustrian dan automotif bagi frekuensi 500kHz atau ke bawah.

Teknologi itu juga boleh digunakan untuk membina alat pengesan yang menggunakan penggerak berasaskan MEMS dan alat pengesan fotonik.

Secara dasarnya, teknologi SilTerra boleh menawarkan ketepatan, hasil tinggi dan masa lebih pantas untuk memasarkan fabrikasi peranti MEMS dan fotonik kepada pelanggan.

Menurut Syed Zainal Abidin, permintaan bagi cip semikonduktor akan kekal tinggi tahun ini disokong peralihan teknologi utama di seluruh dunia seperti rangkaian 5G, industri 4.0, penggunaan kenderaan elektrik dan tenaga boleh diperbaharui.

“Trend makro ini akan berterusan pada tahun-tahun akan datang, bukan sahaja pada 2022 dan ini akan menyediakan peluang perniagaan yang luas kepada syarikat teknologi tempatan, sekali gus membantu mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam industri elektrik dan elektronik global.

“Dalam hal ini, firma teknologi tempatan, termasuk SilTerra, sudah bersedia untuk mengharungi trajektori pertumbuhan ini,” jelas beliau.

Sumber: DagangNews

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon