B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia akan terus gandakan usaha sedia iklim ekonomi kondusif — Azmin

Malaysia akan terus gandakan usaha sedia iklim ekonomi kondusif — Azmin

20 Jan 2022

Malaysia akan terus melipatgandakan usaha untuk menyediakan iklim ekonomi dan ekosistem perniagaan yang kondusif, menurut Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Sebagai contoh, beliau berkata Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai di antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dengan Citi Group pada September lepas adalah penting untuk menawarkan perkhidmatan perbankan menyeluruh yang lancar kepada pelabur asing baharu dan sedia ada di Malaysia.

Katanya, baru-baru ini Citi Group menegaskan Malaysia kekal sebagai hab utama dan destinasi pilihan bagi pelaburan langsung asing (FDI).

“Sehubungan itu, saya menyatakan bahawa Malaysia akan terus melipatgandakan usaha untuk menyediakan iklim ekonomi dan ekosistem perniagaan yang kondusif,” katanya menerusi kenyataan susulan mesyuarat Majlis Perniagaan ASEAN-AS (US-ABC) yang diadakan pada Rabu (19 Jan, 2021).

Mohamed Azmin yang mempengerusikan mesyuarat berkenaan menyifatkan mesyuarat itu berakhir dengan positif mengenai bagaimana kedua-dua negara boleh meningkatkan kerjasama dalam sektor strategik meliputi ekonomi digital, sektor perubatan, dan teknologi hijau untuk memacu kemajuan Malaysia dalam trajektori ini.

Beliau mempengerusikan mesyuarat dengan pemimpin-pemimpin industri sebagai mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang tidak dapat menghadiri program itu berikutan perkara penting lain.

Mohamed Azmin berkata Perdana Menteri telah menekankan mengenai kepentingan perniagaan Amerika Syarikat (AS) dan ahli majlis dalam mendorong pertumbuhan ekonomi Malaysia dan pemulihan yang pantas.

Mesyuarat itu diadakan secara hibrid dengan dihadiri syarikat multinasional seperti Amazon, Cisco, General Electric (GE), IBM, Johnson & Johnson, Pfizer, Airbnb, Citi Group, Coca-Cola dan Google untuk memberikan maklum balas dan cadangan, terutamanya dalam meningkatkan kerjasama awam-swasta dalam bidang pertumbuhan baharu.

“Dalam hal ini, IBM memuji peranan aktif Malaysia dalam memacu pertumbuhan ekonomi digital dan menegaskan bahawa banyak lagi yang boleh kita lakukan untuk memajukan infrastruktur digital menerusi pelaksanaan teknologi 5G.

“Ia turut dinyatakan oleh syarikat multinasional AS Qualcomm berikutan mereka yakin 5G akan menjadi perantara untuk mendorong manfaat sosioekonomi dengan membolehkan lebih banyak perniagaan menegak bermula daripada pengeluaran, sehinggalah penghantaran barang-barang.

“Malah, rakan kongsi kita sejak sekian lama dalam bidang semikonduktor iaitu Intel berpendapat penggunaan teknologi untuk menambah baik kemudahan perdagangan akan berkurangan dan meningkatkan daya tahan bekalan negara,” katanya.

Menurutnya, sebagai mengalu-alukan cadangan itu, Malaysia berharap kerjasama yang lebih besar dalam ruang digital yang mana perniagaan AS memacu penciptaan bakat digital yang tangkas dan cekap di negara ini.

Dalam aspek pelancongan, Airbnb menyarankan kerajaan memberikan fleksibiliti lebih luas terhadap penyusunan perjalanan dan beliau menyatakan Malaysia telah mencapai kemajuan mengenainya, terutamanya menerusi inisiatif negara bagi Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL).

Bagaimanapun, beliau menegaskan Malaysia kekal berwaspada dengan semua kemungkinan dan akan terus mengambil pendekatan proaktif untuk meneroka lebih banyak gelembung perjalanan tanpa mengabaikan protokol kesihatan.

“Kami menyambut baik pandangan Johnson & Johnson yang menyatakan kerajaan perlu memainkan peranan yang lebih ketara dalam merancakkan penyelidikan dan pembangunan bagi produk dan perkhidmatan perubatan.

“Ia boleh diperluaskan lagi dengan memperhebat peranan teknologi digital dalam sektor perubatan. Sememangnya, terdapat manfaat penting untuk masa depan yang dapat dijangka, terutamanya sekiranya kita mengambil kira skala ekonomi yang boleh diperoleh menerusi pengembangan ke rantau ASEAN,” kata Mohamed Azmin.

Selain itu, beliau berkata memandangkan tindakan iklim menjadi tumpuan di peringkat global, peneraju tenaga dunia GE turut memuji komitmen kerajaan untuk mencapai sifar bersih menjelang 2050, seperti yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Mohamed Azmin berkata Malaysia menyokong pertumbuhan ekosistem mobiliti di Malaysia dengan memanfaatkan teknologi termaju terutamanya dalam bidang kenderaan elektrik (EV), grid pintar dan teknologi Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0) dengan menumpukan kepada tiga bidang kerjasama iaitu infrastruktur, teknologi dan perkhidmatan selepas pasaran.

“Sejak bertahun-tahun, US-ABC telah membantu meningkatkan agenda pengintegrasian serantau sambil menambah baik hubungan di antara AS dengan negara anggota ASEAN lain, termasuk Malaysia.

“Pada masa depan, dengan memanfaatkan sinergi antara kerajaan dan pihak swasta, AS dan Malaysia dijangka membuka laluan ke arah pertumbuhan yang berdaya tahan dan mampan,” kata Mohamed Azmin.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon