B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Siemens Energy buka pusat operasi siber di Cyberjaya

Siemens Energy buka pusat operasi siber di Cyberjaya

13 Apr 2022

Siemens Energy, syarikat teknologi tenaga utama dunia, bakal membuka Pusat Operasi Teknologi Keselamatan Siber ‘Managed Detection Response’ (MDR), kemudahan pertama seumpamanya di Asia Pasifik.

Pusat operasi yang dijangka membawa pelaburan lebih RM10 juta dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang itu dilihat bakal meletakkan Malaysia sebagai hab teknologi pertahanan siber di rantau ini.

Timbalan Presiden Kanan Asia Pasifik Siemens Energy, Samuel Morillon, berkata penubuhan Pusat Operasi Teknologi Keselamatan Siber MDR yang dijangka beroperasi akhir tahun ini, dilihat seiring dengan dengan peningkatan ancaman keselamatan siber dan proses pendigitalan infrastruktur tenaga global.

Katanya, pembangunan teknologi operasi pemantauan dan pengesanan dengan tujuan khusus dilihat sangat kritikal dalam memastikan ketahanan rantaian nilai industri tenaga.

“Penyelesaian MDR Siemens Energy yang canggih dan dikuasakan oleh Eos.ii membolehkan pelanggan sektor tenaga dan industri mengenal pasti kelemahan, memantau kejanggalan dan menjangkakan sebarang serangan atau kerosakan sebelum ia berlaku.

“Hasil daripada keselamatan siber yang lebih mantap dan kukuh akan menyumbang kepada pembangunan landskap tenaga lebih matang di rantau ini.

“Asia Pasifik akan menjadi penentu dalam transisi industri tenaga. Demi memastikan transformasi landskap tenaga secara efektif, adalah penting untuk kita memperkukuhkan pertahanan siber bagi infrastruktur operasi kritikal dalam rantaian nilai tenaga agar lebih selamat dan berdaya tahan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis pecah tanah bagi penubuhan Pusat Operasi Teknologi Keselamatan Siber MDR di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Sivasuriyamoorthy Sundara Raja.

Mengulas lanjut, Morillon berkata, Pusat Operasi Teknologi Keselamatan Siber MDR milik Siemens Energy dilengkapi dan tidak terhad kepada kemampuan pengurusan maklum balas insiden keselamatan, pengurusan risikan ancaman, pengurusan keterdedahan berdasarkan risiko serta pengenalpastian ancaman.

Katanya, kemudahan itu akan menyediakan kemudahan pemantauan dan pengesanan yang canggih dan berasaskan kecerdasan buatan (AI) untuk peserta industri tenaga di rantau ini pada kadar mampu milik.

“Penubuhan pusat operasi berkenaan menjadi satu penanda aras besar dalam aspirasi keselamatan siber Malaysia.

“Ia menjadikan Malaysia berpotensi sebagai hab keselamatan siber di Asia Pasifik dengan sasaran untuk membekalkan perkhidmatan secara global pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, Sivasuriyamoorthy berkata, sebagai agensi penggalakan pelaburan utama, MIDA mengalu-alukan pelaburan Siemens Energy dalam menyokong inisiatif MyDigital.

“Ia mampu membina kepakaran tempatan dalam bidang keselamatan siber dalam usaha transformasi Malaysia untuk menjadi negara berpendapatan tinggi yang dipacu oleh pendigitalan dan seterusnya menjadi peneraju serantau dalam bidang ekonomi digital global.

“Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) yang menggariskan Malaysia sebagai hab digital ASEAN telah memberikan negara ini kebolehan yang mantap dalam penawaran penyelesaian keselamatan siber.

“Kami optimis kerjasama berterusan antara sektor awan dan swasta akan mempercepatkan kadar adaptasi teknologi digital dan amalan keselamatan siber yang cekap selari dengan pertumbuhan galak ekonomi digital di Malaysia,” katanya.

Siemens Energy adalah antara syarikat teknologi tenaga terkemuka dunia berpangkalan di Munich, Jerman.

Syarikat teknologi itu bekerjasama dengan pelanggan dan rakan kongsinya membabitkan sistem tenaga untuk masa hadapan, sekali gus menyokong peralihan kepada dunia yang lebih mampan.

Dianggarkan satu perenam daripada tenaga elektrik yang dijana di seluruh dunia adalah berdasarkan teknologi daripada Siemens Energy.

Siemens Energy mempunyai kira-kira 91,000 pekerja di seluruh dunia di lebih 90 negara.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon