B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Pelan hala tuju teknologi dan produk nano negara dilancar hari ini

Pelan hala tuju teknologi dan produk nano negara dilancar hari ini

13 Apr 2022

Pelan Hala Tuju Teknologi dan Produk Nano Negara yang dilancarkan hari ini bertujuan  menunjangi  Dasar dan Strategi Nanoteknologi Negara 2021-2030 (DSNN 2021-2030) dalam merancakkan industri nano di Malaysia.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba berkata pelan itu menyeragamkan pembangunan nanoteknologi negara dengan memperkukuh dan memantapkan hubungan serta kerjasama antara industri dan akademia untuk memastikan teknologi yang dibangunkan memenuhi kehendak industri dan keperluan pasaran.

“Bagi merealisasikan hasrat negara untuk menjadi pemain industri nano di peringkat serantau, ia memerlukan satu bentuk kerjasama yang menyeluruh khususnya bersama agensi-agensi dan kementerian yang lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata dalam tempoh lima tahun, pelan hala tuju itu akan memberi faedah kepada negara dalam penciptaan peluang pekerjaan sebanyak 33,391 orang serta meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM151.5 bilion.

“Pelan hala tuju ini akan memacu ekonomi negara melalui teknologi dan produk nano tempatan sekali gus menjadikan Malaysia sebagai pengeksport utama produk berasaskan teknologi tinggi di peringkat ASEAN,” katanya.

Melalui pelan hala tuju itu, Dr Adham berkata perusahaan kecil dan sederhana (PKS) turut mendapat manfaat melalui pelaburan dan naik taraf fasiliti kepada 52 syarikat nanoteknopreneur atau pemula niaga (startup).

Menurut data NanoVerify Sdn Bhd, pada 2020, lebih 80 peratus daripada industri nano negara dipelopori oleh PKS.

“Sehubungan itu, tumpuan turut diberikan kepada program-program intervensi kepada PKS bagi meningkatkan teknologi dan produk seperti bantuan kewangan  dan fasiliti serta program pensijilan produk nano untuk mengembangkan jualan dan keyakinan pengguna dalam usaha menembusi pasaran luar,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon