Sheng Tai International terokai pembuatan sarung tangan - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Sheng Tai International terokai pembuatan sarung tangan

Sheng Tai International terokai pembuatan sarung tangan

11 Jun 2021

Pemaju hartanah dan pakar pelancongan hartanah, Sheng Tai International Sdn Bhd (Sheng Tai International) menerokai pengeluaran sarung tangan nitril dengan menjalin kerjasama strategik dengan pengeluar sarung tangan lateks dan nitril, KenTeam Asia Glove Hub Sdn Bhd (KenTeam).

Kedua-dua syarikat itu memeterai memorandum perjanjian (MoA) hari ini bagi membolehkan Sheng Tai International mengambil alih 110 barisan pengeluaran daripada hab sarung tangan KenTeam seluas 36 hektar di Jasin, Melaka, yang mana pemaju hartanah itu dilantik untuk reka cipta, memasang dan membina hab berkenaan.

Apabila siap nanti, kapasiti pengeluaran yang dijangkakan bagi setiap barisan pengeluaran adalah tiga juta kotak setahun, justeru jumlah keseluruhan kapasiti pengeluaran bagi semua 110 barisan pengeluaran ialah 330 juta kotak setahun.

Pengasas dan Pengerusi Sheng Tai International, Datuk Leong Sir Lay, berkata kerjasama strategik itu adalah pencapaian besar bagi pemaju hartanah berkenaan.

Beliau berkata, penerokaan syarikatnya ke dalam industri sarung tangan nitril bukan saja akan membawa pendapatan positif kepada Sheng Tai International tetapi juga mengukuhkan komitmennya untuk menjaga kesejahteraan negara, terutama Melaka, ekonomi dan kesihatan.

Katanya, kerjasama strategik itu juga memberi laluan kepada Sheng Tai International ke dalam industri pembuatan sarung tangan nitril yang berkembang pesat berikutan COVID-19 dan jangkitan penyakit lain.

“Penerokaan Sheng Tai International ke dalam industri pembuatan sarung tangan adalah antara usaha kreatif kami untuk terus berdaya tahan pada masa depan,” katanya pada majlis menandatangani MoA yang diadakan secara maya hari ini.

Pemeteraian MoA itu disaksikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif KenTeam, Datuk Seri Justin Lim.

Mengenai pembinaan 110 barisan pengeluaran sarung tangan itu, Lim berkata, pembinaan dijangka bermula awal Julai ini dan dijangka siap dalam tempoh 18 bulan.

Beliau berkata, projek hab sarung tangan dengan pelaburan RM1.5 bilion itu dijangka mewujudkan peluang pekerjaan kira-kira 7,500.

“Kebanyakan permintaan sarung tangan adalah dari pasaran luar negara terutama dari Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Eropah. Kebanyakan sarung tangan keluaran kami untuk pasaran eksport,” katanya.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon