B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Permintaan domestik, global sokong pertumbuhan jualan pembuatan tinggi pada April — Ahli Ekonomi

Permintaan domestik, global sokong pertumbuhan jualan pembuatan tinggi pada April — Ahli Ekonomi

12 Jun 2021

Ahli-ahli ekonomi percaya permintaan domestik dan global yang bertambah baik membantu Malaysia merekodkan pertumbuhan jualan pembuatan tertinggi, pada 72.5 peratus tahun ke tahun pada April 2021.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata  lebih banyak ekonomi dibuka  sejak Mac tahun ini, oleh itu  membantu memacu peningkatan jualan pembuatan.

“Asas rendah yang direkodkan sepanjang April 2020 merupakan sebab utama lonjakan besar itu dari segi perbandingan tahun ke tahun; ia disebabkan sekatan pergerakan penuh semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0.

“Oleh itu, ia merupakan kombinasi kesan asas rendah, lebih banyak ekonomi dibuka berbanding tahun lepas, dan sudah tentunya peningkatan permintaan global,” katanya kepada Bernama.

Jabatan Perangkaan dalam satu kenyataan pada Khamis berkata peningkatan mendadak nilai jualan pembuatan kepada RM130.6 bilion pada April disokong oleh peralatan pengangkutan dan pembuatan lain (332.4 peratus), produk elektrik dan elektronik (80.2 peratus), dan produk petroleum, kimia, getah dan plastik (49.1 peratus).

Mohd Afzanizam berkata ketika permintaan industri kembali normal, permintaan terhadap peralatan dan komponen pengangkutan juga akan meningkat.

“Terdapat peningkatan ketara dalam jumlah keseluruhan jualan apabila jualan kenderaan melonjak 381 kali tahun ke tahun kepada  57,912 unit pada April 2021 berbanding hanya 152 dalam bulan yang sama tahun lepas,” jelasnya.

Ahli Ekonomi Kanan UOB Malaysia Julia Goh berkata lanjutan pengecualian cukai jualan sehingga 30 Jun, 2021, daripada 31 Dis, 2020, membantu meningkatkan jualan peralatan pengangkutan dan pembuatan lain, yang memuncak pada April 2021.

“Perbelanjaan domestik, terutamanya bagi pembelian kenderaan susulan insentif kerajaan itu telah membantu menyokong pengeluaran berorientasikan domestik,” katanya sambil menambah angka April 2021 juga mencerminkan penyambungan semula pengeluaran pasca PKP 2.0.

Sementara itu,  profesor ekonomi Universiti  Sunway Yeah Kim Leng berkata pemulihan permintaan di Amerika Syarikat dan Eropah selain pertumbuhan kukuh ekonomi China juga menyumbang kepada lonjakan jualan pembuatan.

“Produk elektrik dan elektronik, peralatan pengangkutan, pembuatan, kimia, dan pembuatan berasaskan eksport lain adalah penerima utama daripada peningkatan permintaan import bagi produk berkaitan pengguna di negara-negara maju utama yang dapat membendung pandemik COVID-19 menerusi vaksinasi secara besarbesaran,” katanya.

Yeah berkata asas rendah dan peningkatan jualan eksport dijangka mengekalkan prestasi pembuatan Malaysia pada bulan-bulan akan dating walaupun pertumbuhan jualan kukuh tahun-ke-tahun dijangka menurun bermula Jun dan bulan-bulan seterusnya apabila kesan asas berkurangan.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon