B. Malaysia
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Semua negeri catat pertumbuhan positif, lima negeri rekod prestasi baik pada 2021

Semua negeri catat pertumbuhan positif, lima negeri rekod prestasi baik pada 2021

30 Jun 2022

Prestasi ekonomi bagi semua negeri mencatatkan pertumbuhan positif pada 2021, lima negeri merekodkan kadar pertumbuhan yang lebih baik berbanding penyusutan 5.6 peratus peringkat nasional.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin (gambar) berkata lima negeri tersebut adalah Pulau Pinang 6.8 peratus diikuti Selangor (5.0 peratus), Terengganu (3.6 peratus), Perak (3.5 peratus) dan Kedah (3.2 peratus).

“Pemacu utama kepada pencapaian Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) lima negeri ini adalah didorong sektor pembuatan dan perkhidmatan. Sektor pembuatan merupakan antara sektor yang mencapai corak pertumbuhan positif.

“Berdasarkan pertumbuhan ini, kita jangka pola pertumbuhan ekonomi negara akan berkembang pesat di setiap negeri lebih-lebih lagi selepas pandemik COVID-19,” katanya pada sidang media mengenai Prestasi Ekonomi Mengikut Negeri 2021 di sini hari ini.

Bagi prestasi KDNK per kapita, Mohd Uzir berkata 13 negeri dan dua Wilayah Persekutuan (WP) mencatatkan peningkatan dalam nilai KDNK per kapita berbanding 2020 dengan tujuh negeri mencatatkan nilai KDNK per kapita melebihi paras nasional RM47,324 iaitu WP Kuala Lumpur RM124,232 diikuti WP Labuan (RM78,032), Pulau Pinang (RM58,527) dan Sarawak (RM57,635).

Selangor mencatatkan RM55,568, Melaka (RM47,799) dan Negeri Sembilan (RM47,452), katanya.

Beliau menjangkakan ekonomi Malaysia terus meningkat tahun ini susulan peningkatan perkhidmatan dalam dan luar negeri berikutan usaha pantas kerajaan dalam mengurangkan impak krisis pandemik COVID-19 seperti pembukaan semula sempadan negara, pelaksanaan pakej bantuan serta rangsangan ekonomi dan kejayaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Impak pemulihan dapat dilihat daripada pemulihan dalam nilai KDNK suku pertama 2022 kepada 5.0 peratus berbanding penguncupan 0.5 peratus pada suku pertama 2021, katanya.

“Pada tempoh sama, pasaran buruh lebih kukuh dengan kadar penyertaan tenaga buruh turut meningkat 0.4 mata peratus kepada 69 peratus,” kata Mohd Uzir.

Berdasarkan Indeks Pelopor pada April 2022, ia menunjukkan isyarat hala tuju ekonomi dala masa pendek turut meramalkan prestasi ekonomi Malaysia akan mengekalkan arah aliran yang lebih baik walaupun berdepan dengan ekonomi tidak sekata berikutan perbezaan kadar dan masa bagi negara-negara yang telah membuka semula aktiviti ekonomi, katanya. 

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X