B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia Digital pacu bidang pertumbuhan baharu

Malaysia Digital pacu bidang pertumbuhan baharu

04 Jul 2022

Tadbir urus dan strategi bagi pelaksanaan Malaysia Digital (MD) yang dilancarkan hari ini, akan diselaraskan di peringkat tertinggi kerajaan, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri menegaskan, pemantauan dan penambahbaikannya akan dibuat dari semasa ke semasa.

Menerusi struktur tadbir urus baharu, katanya, MD berperanan mempercepatkan pendigitalan di seluruh negara dan memangkin bidang pertumbuhan baharu.

“Ia juga berperanan dalam meningkatkan penyertaan syarikat teknologi tempatan serta menarik pelaburan berpotensi, sejajar usaha merealisasikan aspirasi dan sasaran negara.

“Pada peringkat awal, dua pemangkin akan diperkenalkan di bawah MD iaitu program DE Rantau dan Digital Trade,” katanya ketika berucap melancarkan Malaysia Digital di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.

Turut sama hadir, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa serta Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamad.

Ismail Sabri berkata, DE Rantau bertujuan menjadikan Malaysia sebagai Hab Nomad Digital pilihan di rantau ini melalui peningkatan penggunaan digital, mobiliti profesional digital dan aktiviti pelancongan di seluruh negara.

Jelasnya, aktiviti nomad digital dalam negara akan memberi kesan limpahan yang bukan sahaja membantu memulihkan semula sektor pelancongan yang terjejas akibat pandemik.

“Ia juga merancakkan aktiviti perniagaan dan ekonomi tempatan di samping membuka peluang perkongsian pengetahuan serta pengalaman bersama komuniti setempat,” katanya.

Perdana Menteri berkata, Digital Trade berperanan memacu e-Dagang dan adaptasi digital oleh perniagaan serta memudahkan perdagangan merentas sempadan, selaras Pelan Hala Tuju Strategik E-Dagang Kebangsaan (NESR).

“Digital Trade turut bertujuan menyokong pergerakan data yang lancar antara perniagaan untuk meningkatkan kecekapan, ketepatan dan kebolehpercayaan transaksi merentas sektor dan industri,” katanya.

Beliau berkata, bagi memastikan pelaksanaan MD lebih berkesan, Kabinet bersetuju Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) menubuhkan Jawatankuasa Koordinasi Malaysia Digital (MD-CC) untuk menyelaraskan tadbir urus dan operasinya, seperti penganugerahan Status MD.

“MD menerusi projek mangkin MD atau Pemangkin akan berfungsi secara holistik dalam mentransformasi ekosistem ekonomi digital negara menerusi tiga keutamaan strategik.

“Pertama, membantu memacu adaptasi digital dalam kalangan usahawan muda, syarikat dan rakyat.

“Kedua, menyokong syarikat teknologi tempatan untuk menjadi ‘Juara Malaysia’ berjaya di peringkat antarabangsa dan ketiga, menarik pelaburan bernilai tinggi,” katanya.

Beliau yakin, menerusi keutamaan berkenaan, MD akan memacu lebih banyak program berimpak tinggi dan memberi impak langsung serta segera, khususnya kepada Keluarga Malaysia.

“Dengan kerjasama dan muafakat pelbagai pihak, inisiatif MD ini akan dapat dilaksanakan dengan jayanya. Kerajaan akan memberi tumpuan sepenuhnya supaya ia dapat dilaksanakan dengan lancar.

“Negara juga perlu melahirkan lebih ramai bakat dan tenaga kerja digital yang berdaya saing, infrastruktur yang serba lengkap dan terus memastikan keupayaan serta kapasiti negara kita, kekal bertaraf dunia,” katanya.

Ismail Sabri berkata, pemangkin dalam sektor pertanian sudah melaksanakan 10 projek perintis Digital AgTech untuk membantu petani mengadaptasi teknologi digital bagi meningkatkan hasil dan mengurangkan kos operasi.

Katanya, kerajaan sudah menganugerahkan Status MD kepada enam syarikat kelompok pertama iaitu Bytedance System Sdn Bhd dan Bridge Data Centres Malaysia (III) Sdn Bhd.

Selain itu, GDS IDC Services (Malaysia) Sdn Bhd, Abbott Laboratories (Malaysia) Sdn Bhd, Aceteam Connect Sdn Bhd serta Peninsula Apex Technologies Sdn Bhd.

Ketika itu, tegasnya, ekonomi digital Malaysia sudah mencapai 22.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) tahun lalu dan dijangka berkembang melepasi sasaran awal sebanyak 25.5 peratus menjelang 2025.

“Antara sektor pesat berkembang ialah e-Dagang yang menyumbang 11.5 peratus kepada KDNK pada 2020 berbanding 8.5 peratus pada 2019.

“Nilai transaksi e-Dagang negara juga sudah mencecah RM1 trilion buat pertama kalinya tahun lalu, meningkat 21.8 peratus berbanding 2020 ” katanya.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon