B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Selgate, MTT bangunkan hospital pakar swasta pertama Balik Pulau

Selgate, MTT bangunkan hospital pakar swasta pertama Balik Pulau

17 Feb 2022

Dalam usaha untuk menjadi pengendali penjagaan kesihatan swasta terkemuka, Selgate Corporation Sdn Bhd telah menjalinkan kerjasama dengan MTT Properties & Development Sdn Bhd untuk membangunkan sebuah hospital pakar swasta di Balik Pulau melalui cabang penjagaan kesihatannya Selgate Healthcare Sdn Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Selgate Corp Noor Hisham Mohd Ghouth berkata hospital itu dijangka siap menjelang 2025 dan akan menambah kira-kira 150 katil untuk operasi penjagaan kesihatannya.

“Dari segi pembiayaan, kami masih belum memuktamadkan strukturnya atau sama ada MTT atau Selgate Healthcare akan membina hospital berkenaan, tetapi kami akan terlibat sebagai pengendali hospital,” katanya kepada pemberita selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Pengerusi Kumpulan MTT  Datuk Seri Kenny Ong Kean Lee di sini hari ini.

Beliau berkata kumpulan itu bercadang untuk mengendalikan tujuh hospital dengan kira-kira 1,000 katil dalam tempoh lima tahun akan datang dan hospital pertamanya di Rawang dijangka mula beroperasi awal tahun depan untuk menampung permintaan yang kian meningkat dalam perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti tinggi.

Sementara itu, Ong berkata MTT Properties & Development telah memperuntukkan kawasan seluas 2.02 hektar untuk penglibatan pertamanya dalam penjagaan kesihatan di perbandaran Botanica CT Garden Township dan kerjasama inilah yang akan menyaksikan penubuhan hospital pakar swasta pertama di Balik Pulau.

Perkongsian itu adalah satu kejayaan untuk pemegang berkepentingan dan membuka jalan bagi pembangunan sebuah perbandaran berdikari sepenuhnya, menyediakan penjagaan kesihatan berkualiti melangkaui perbandaran ke Balik Pulau dan komuniti kejiranan lain.

“Ia juga akan membantu meningkatkan lagi kemudahan penjagaan warga emas bersepadu pertama kami, Eden @ Botanica CT yang akan dilancarkan hujung tahun ini,” tambahnya.

Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow yang turut hadir menyaksikan acara itu berkata hospital baharu berkenaan adalah penambahan kepada 18 hospital swasta sedia ada di negeri ini dan akan mengukuhkan lagi kedudukan Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan penjagaan kesihatan utama negara.

“Menurut Rangka Tindakan Industri Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia 2021-2025, Pulau Pinang mendahului dalam pendapatan pelancongan penjagaan kesihatan, menjana RM750 juta daripada 500,000 pesakit yang datang ke negeri ini pada 2019,” tambah beliau.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon