B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


KLIA dinobat penyedia perkhidmatan terbaik dunia

KLIA dinobat penyedia perkhidmatan terbaik dunia

17 Feb 2022

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berada di kedudukan pertama dalam kaji selidik Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang (ASQ) bagi suku keempat 2021.

Kedudukan itu dicapai bersama sembilan lapangan terbang antarabangsa lain dalam kategori sama, iaitu lebih 40 juta penumpang setahun, yang mencatatkan skor sempurna 5.00 dalam kaji selidik global berkenaan.

Malaysia Airports dalam kenyataannya berkata, keputusan itu diumumkan baru-baru ini oleh Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa (ACI), yang bertanggungjawab memberi penanda aras kepada lapangan terbang terbaik dunia dari segi kepuasan keseluruhan penumpang bagi keselamatan, kemudahan, perkhidmatan dan kebersihan terminal.

Ia berkata, pencapaian terkini KLIA itu memberikan jaminan tambahan kepada penumpang terhadap komitmen berterusan lapangan terbang berkenaan untuk meningkatkan perkhidmatan, di sebalik prosedur operasi standard (SOP) perjalanan yang ketat bagi membendung pandemik COVID-19.

“Bulan lalu, Malaysia Airports merekodkan sejumlah 2.7 juta pergerakan penumpang di rangkaian lapangan terbang tempatannya, manakala aset di Turki, Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (ISG) mencatatkan pergerakan dua juta penumpang,” katanya.

Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Iskandar Mizal Mahmood, berkata beberapa bulan yang lalu menyaksikan pergerakan penumpang meningkat secara mendadak.

“Dengan peningkatan ini, kami perlu memastikan bahawa standard perkhidmatan di lapangan terbang secara konsisten dikekalkan. Tempoh yang senggang sebelum ini membolehkan kami melaksanakan pelbagai inisiatif penambahbaikan dan skor ASQ yang sempurna ini adalah bukti usaha yang dilakukan oleh seluruh komuniti lapangan terbang.

“Untuk diletakkan di kedudukan pertama bersama lapangan terbang global lain juga adalah satu penghormatan buat negara ini. Kami bersedia untuk menyambut pengembara sebaik saja sekatan perjalanan antarabangsa ditamatkan.

“Sebagai contoh, kami secara konsisten mencapai skor sempurna 5.00 bagi elemen ASQ ‘berasa selamat dan terjamin’ pada 2021,” katanya.

Berikutan perjalanan antarabangsa masih terhad, prestasi trafik penumpang Malaysia Airports dipacu oleh perjalanan domestik.

Bagi Malaysia, trafik domestik direkodkan pada pada 2.5 juta penumpang bulan lalu, 90 peratus daripada jumlah pergerakan keseluruhan penumpang di negara ini.

Tinjauan bagi industri penerbangan Malaysia juga kekal positif apabila bulan lalu menyaksikan ketibaan sebuah syarikat penerbangan baharu dan penambahan beberapa laluan penerbangan lagi.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon