B. Malaysia
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Selangor sasar jadi hab perdagangan global

Selangor sasar jadi hab perdagangan global

08 Mac 2022

Selangor, yang mempunyai rangkaian jalinan dan ekosistem komprehensif di samping menjadi lokasi utama sektor pekerjaan negara akan mengukuhkan teknologi bandar pintar serta infrastruktur ke arah menjadikan negeri itu sebagai hab perdagangan global.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perdagangan & Perindustrian dan Industri Kecil Dan Sederhana (IKS) Selangor, Datuk Teng Chang Khim, berkata lokasi negeri itu yang strategik dengan dua lapangan terbang antarabangsa utama dan pelabuhan kontena ke-12 terbesar di dunia iaitu Pelabuhan Klang selain rangkaian kereta api domestik, jalan raya dan udara termaju ke pusat ekonomi dalam negara, menjadikannya salah satu hab perniagaan paling menarik menghubungkan pelabur ke ASEAN dan pasaran global.

Selangor juga, katanya, mempunyai kira-kira 3.6 juta tenaga kerja, yang sebahagian besarnya berkemahiran tinggi.

“Kerajaan negeri mengalu-alukan projek pembangunan dan pelaburan dalam pelbagai sektor. Selangor sentiasa bercita-cita untuk menjadi destinasi pelaburan terbaik dan telah menjadi kuasa ekonomi utama di Malaysia dalam tempoh lebih sedekad yang lalu.

“Selangor akan memperkasakan ekosistem bagi industri untuk menubuhkan operasi mereka di negeri ini,” katanya ketika sidang media sempena Minggu Selangor, Ekspo 2020 Dubai.

Minggu Selangor di Ekspo 2020 Dubai turut dihadiri Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Chang Khim berkata, bagi menarik minat pelabur asing untuk bertapak di Selangor, kerajaan negeri melalui Invest Selangor Bhd turut menyediakan siri video pendek bagi memberi penerangan dan maklumat mengenai Selangor kepada pelabur berpotensi.

Beliau berkata, penyertaan Selangor dalam Ekspo 2020 Dubai juga memberikan peluang untuk mempamerkan kelebihan dan kekuatan dalam menarik lebih banyak pelaburan.

Katanya, dengan penyertaan 17 syarikat, Minggu Selangor mempromosikan lima kelompok industri untuk pelaburan iaitu elektrik dan elektronik, bioteknologi, pengangkutan dan peralatan (aeroangkasa), mesin dan peralatan serta makanan dan minuman.

“Selain itu, ekosistem kelompok perkhidmatan yang baru diperkenalkan dalam logistik dan pelaburan digital turut dipromosikan dalam Minggu Selangor.

“Ekspo 2020 Dubai adalah peluang dan platform untuk Selangor menampilkan diri kepada dunia. Jika Dubai adalah permata mahkota UAE (Emiriah Arab Bersatu), Selangor adalah ‘Negeri Emas Malaysia’,” katanya.

Pavilion Malaysia di Ekspo 2020 Dubai menjana lebih daripada AS$8.03 bilion potensi pulangan perdagangan dan pelaburan dalam lapan minggu pertama penyertaannya.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X