B. Malaysia
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Sektor getah negara tarik pelabur Mesir, Qatar

Sektor getah negara tarik pelabur Mesir, Qatar

22 Apr 2022

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi komited untuk menggalakkan penyertaan syarikat serta pelabur dari Mesir dan Qatar bagi memanfaatkan fasiliti Bandar Getah Kedah selain mengambil peluang daripada pasaran berpotensi di ASEAN.

Menurut Majlis Getah Malaysia dalam satu kenyataan, ini berikutan misi kementerian baru-baru ini ke Mesir dan Qatar yang diketuai oleh Menteri Datuk Zuraida Kamaruddin untuk mengenal pasti potensi pasaran termasuk peluang perkongsian bagi sektor getah di Timur Tengah dan ASEAN.

“Syarikat-syarikat dan pelabur dari kedua-dua rantau ini akan dapat meneroka kemungkinan membentuk perkongsian dengan syarikat Malaysia dalam sektor getah seperti dalam pembuatan produk getah.

“Sebagai contoh, Qatar dapat meneroka kemungkinan membentuk kerjasama, terutamanya dalam pembuatan tayar kerana Malaysia kini mengimport tayar bernilai lebih daripada RM2 bilion (AS$830 juta), oleh itu, kerajaan sangat menyokong pembuatan tayar,” kenyataan itu memetik Zuraida hari ini.

Kerajaan telah mengazetkan taman eko-industri getah seluas 600 hektar yang dikenali sebagai Bandar Getah Kedah untuk menampung pengeluaran, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pembuatan getah.

Zuraida berkata pelabur dapat memanfaatkan kedudukan Malaysia sebagai salah satu daripada pengeksport utama produk getah dan perjanjian perdagangan bebas antara Malaysia dengan negara-negara ASEAN lain (AFTA), yang mana, kebanyakan produk getah di kalangan anggotanya mempunyai tarif import sifar.

Beliau berkata insentif khusus juga akan diberikan kepada pelabur yang memilih bandar getah sebagai pangkalan mereka seperti status perintis dan geran R&D.

Pada 2021, Malaysia mengeksport produk getah bernilai AS$15.9 juta kepada Qatar, mencerminkan kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) sebanyak 110 peratus dari 2019 hingga 2021.

Sarung tangan getah adalah produk utama yang dieksport ke Qatar dari Malaysia dengan 70 peratus bahagian pasaran dan nilai eksport sebanyak AS$14.4 juta, manakala produk getah lain yang dieksport termasuk hos, penutup, dapra dok dan kasut.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X