B. Malaysia
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Sektor automotif dijangka catat pertumbuhan lapan peratus

Sektor automotif dijangka catat pertumbuhan lapan peratus

21 Jan 2021

Jumlah jualan keseluruhan industri Malaysia (TIV) diunjur berkembang kepada 570,000 unit pada tahun ini, naik lapan peratus berbanding 529,434 unit kenderaan yang direkodkan semasa tahun lepas, kata Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

Presiden MAA Datuk Aishah Ahmad berkata kenderaan penumpang dan komersial dijangka mencatatkan jualan, masing-masing sebanyak 513,000 dan 57,000 unit pada tahun ini.

Jangkaan pemulihan ekonomi global termasuk di Malaysia, kesinambungan insentif pengecualian cukai jualan bagi kenderaan penumpang sehingga 30 jun depan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan kadar faedah pinjaman sewa beli yang lebih rendah akan membantu merangsang jualan, katanya. 

”Ditambah pula dengan banyak pakej rangsangan ekonomi yang dimulakan oleh kerajaan, MAA optimis pasaran automotif tempatan akan melantun semula pada 2021,” katanya kepada pemberita semasa taklimat maya mengenai prestasi peniaga dan pengilang motor untuk 2020 hari ini.

Pengenalan model baharu dengan spesifikasi tambahan terkini, gaya reka bentuk dan harga yang sangat kompetitif, juga akan membantu mengekalkan minat belian. 

“Selain itu, kempen promosi yang agresif oleh syarikat-syarikat kereta juga akan meningkatkan jualan,” katanya. 

Beliau berkata prestasi jualan yang lebih tinggi daripada jangkaan iaitu sebanyak 184,121 unit yang direkod pada suku keempat 2020 berbanding 161,296 unit yang dicapai dalam tempoh yang sama pada 2019, telah membantu mengurangkan jangkaan penurunan TIV. 

“Bagi tahun penuh 2020, TIV berada pada 529,434 unit, penurunan sebanyak 12.4 peratus dari tahun ke tahun daripada 604,281 unit yang dicatatkan semasa tahun sebelumnya.

“Walaupun mencatatkan penurunan dua digit dalam TIV, namun ini adalah pencapaian yang baik untuk industri automotif tempatan memandangkan persekitaran perniagaan yang sangat mencabar dan lebih tinggi daripada 470,000 unit yang dijangkakan MAA,” tambah beliau.

 Beliau menyifatkan prestasi yang lebih baik daripada jangkaan disebabkan oleh insentif pengecualian cukai jualan bagi kenderaan penumpang di bawah pakej PENJANA dari 15 Jun 2020 hingga 31 Dis 2020. 

Di bawah pakej PENJANA, kerajaan mengumumkan pengecualian cukai jualan sehingga 100 peratus untuk kenderaan penumpang (CKD) pemasangan tempatan dan 50 peratus ke atas kenderaan penumpang yang diimport (CBU).

Sementara itu, jualan kenderaan penumpang jatuh 12.6 peratus dari tahun ke tahun kepada 480,965 unit pada 2020 daripada 550,177 unit yang direkodkan semasa 2019, manakala jualan kenderaan perdagangan merosot 10.4 peratus dari tahun ke tahun kepada 48,469 unit berbanding 54,469 unit sebelum ini. 

Pengeluaran kenderaan baharu pada tahun lepas juga menurun sebanyak 15 peratus dari tahun ke tahun kepada 485,186 unit daripada 571,632 unit pada 2019, disebabkan oleh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac 2020 dan juga sejajar dengan jualan keseluruhan yang lebih rendah pada 2020.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X