B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


NCIA utamakan pemulihan sosioekonomi Perlis, tambah baik perhubungan dan mobiliti

NCIA utamakan pemulihan sosioekonomi Perlis, tambah baik perhubungan dan mobiliti

21 Jan 2021

Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) akan menumpukan kepada penambahbaikan infrastruktur pengangkutan, logistik, pengedaran dan utiliti serta mengeratkan hubungan bandar dan luar bandar dalam usaha untuk melonjakkan ekosistem ekonomi negeri Perlis.

NCIA berkata, infrastruktur perhubungan dan mobiliti adalah pemboleh yang sangat penting untuk memudahkan proses pemulihan sosioekonomi di negeri ini kesan daripada pendemik COVID-19.

Kedudukan Perlis yang strategik dari segi geografi iaitu berdekatan dengan sempadan Malaysia-Thailand telah memberi kelebihan untuk memanfaatkan pelbagai peluang ekonomi dan perniagaan dalam perdagangan rentas sempadan.

“Infrastruktur logistik dan mobiliti sangat penting untuk ditambah baik bagi mengatasi masalah kesesakan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand. Padang Besar merupakan salah satu pintu utama untuk eksport barangan dari Selatan Thailand,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi meneruskan penambahbaikan perdagangan di sempadan Malaysia dan Thailand, Terminal Padang Besar telah dinaik taraf bagi mengurangkan kesesakan pergerakan kargo.

 “Jumlah kapasiti pengendalian kontena oleh KTMB di Terminal Keretapi Padang Besar ditingkatkan  daripada 110,000 TEU kepada 150,000 TEU setahun (TEU= unit kontena bersamaan 20 kaki),” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man berkata kejayaan projek naik taraf ini telah meningkatkan keberkesanan pengurusan kontena di sempadan.

“Ia akan menarik lebih banyak pelaburan sektor swasta dan menggalakkan aktiviti ekonomi serta akan merancakkan pelaburan di Perlis Inland Port (PIP).

“PIP direka untuk melonjakkan lagi perdagangan antara Malaysia dan Thailand serta dalam masa yang sama, memenuhi keperluan pemain industri di Chuping Valley Industrial Area (CVIA) dengan menyediakan perhubungan rel secara terus ke Pelabuhan Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Azlan berkata, ketika ini  komitmen pelaburan telah melebihi RM460 juta dan lebih 600 peluang pekerjaan bakal diwujudkan oleh syarikat yang beroperasi dalam industri Peralatan Perubatan, Elektrik dan Elektronik (E&E) dan Pertanian Pintar.

“Pembangunan CVIA ketika ini berjalan mengatasi jadualnya dengan kawasan seluas 60 ekar akan siap dibangunkan dengan infrastruktur pada hujung Januari 2021 dan seterusnya bersedia untuk kehadiran pelabur.

“Kesan pembangunan CVIA ini menawarkan peluang yang cukup besar kepada pembangunan sosioekonomi negeri dengan potensi jumlah pelaburan swasta sebanyak RM4.5 bilion dan mewujudkan lebih 12,000 pekerjaan apabila projek ini beroperasi sepenuhnya kelak,” katanya.

Menurutnya lagi, NCIA telah bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Perlis untuk membangunkan Kangar Sentral, iaitu sebuah terminal bas berintegrasi baharu dengan kapasiti lebih besar dan akses yang lebih baik serta pelbagai kemudahan baharu untuk orang awam.

Katanya, kerja-kerja pembinaan telah bermula Oktober tahun lalu dan dijangka siap pada suku kedua 2023 dengan melibatkan kos sebanyak RM30 juta.

“Selain itu, dalam usaha untuk merancakkan semula industri pelancongan Perlis, kajian kebolehlaksanaan akan dilakukan bagi pembangunan semula Terminal Jeti Kuala Perlis.

“Penambahbaikan fasiliti logistik dan perhubungan sangat diperlukan bagi membolehkan aliran trafik yang lebih berkesan dan mempromosikan aktiviti ekonomi,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon