B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Scientex beli saham syarikat pembungkusan Jepun

Scientex beli saham syarikat pembungkusan Jepun

02 Sep 2022

Pengeluar pembungkusan global dan pemaju hartanah terkemuka, Scientex Bhd menerusi anak syarikat milik penuhnya, Scientex Packaging Film Sdn Bhd mengambil alih 80.2 peratus kepentingan ekuiti dalam Taisei Lamick Malaysia Sdn Bhd (TLM) sebanyak RM63.8 juta.

TLM adalah anak syarikat pengeluar terkemuka Jepun bagi sistem pembungkusan cecair dan pes, Taisei Lamick Co Ltd (Taisei Lamick).

Scientex, menerusi anak syarikat milik penuhnya itu telah memeterai perjanjian penjualan saham (SSA) dengan Taisei Lamick untuk memperoleh 8,100 saham biasa mewakili 80.2 peratus kepentingan ekuiti dalam TLM untuk pertimbangan tunai RM63.8 juta.

Selepas SSA selesai, Scientex akan memegang 80.2 peratus ekuiti dalam TLM, manakala Taisei Lamick akan memegang baki ekuiti 19.8 peratus.

Taisei Lamick yang tersenarai di Bursa Saham Tokyo terbabit dalam pembuatan dan penjualan filem plastik, kantung retort dan kantung berzip untuk pengisi automatik dengan cecair dan pes, serta pembuatan dan penjualan pengisi automatik ‘DANGAN’ untuk cecair dan pes, peranti persisian dan perkhidmatan teknikal.

Anak syarikatnya, TLM pula terbabit terutamanya dalam pembuatan dan penjualan bahan pembungkusan cahaya fleksibel bercetak dan berlamina untuk makanan dan minuman (F&B) dan produk Barangan Pengguna Cepat Laris (FMCG).

Ketua Pegawai Eksekutif Scientex, Lim Peng Jin, berkata kerjasama itu adalah langkah yang bermakna untuk Scientex dalam pelbagai bidang, terutamanyaTaisei Lamick ialah pengeluar nombor satu untuk pembungkusan cecair dan pes di Jepun.

Beliau berkata, kerjasama yang memanfaatkan reputasi kukuh dan kekuatan kolektif Scientex dan Taisei Lamick itu, bersedia untuk membawa produk kualiti kos daya saing kepada pelanggan serantau, sekali gus berpotensi mengembangkan bahagian pasaran pembungkusan fleksibel syarikat.

“Paling penting ialah hakikat bahawa ia akan membolehkan Scientex bertapak serta-merta dalam perniagaan filem yang berkembang pesat yang digunakan dalam pembungkusan cecair dan pes, sekali gus meningkatkan penawaran kami bagi produk pembungkusan fleksibel yang pelbagai dan disesuaikan terutamanya dalam sektor F&B.

“Ia juga akan memberi peluang kepada kami untuk mengembangkan keupayaan kami dalam menghasilkan pembungkusan khusus berkaitan penjagaan kesihatan dan kebersihan dan meluaskan rangkaian penyelesaian pembungkusan nilai tambah dalam sektor FMCG,” katanya.

Cadangan pengambilalihan akan dibiayai oleh dana yang dijana secara dalaman dan/atau pinjaman bank, dan tidak tertakluk kepada kelulusan pemegang saham Scientex dan pihak berkuasa kerajaan di Malaysia.

Dengan mengambil kira keadaan yang tidak dijangka, cadangan pengambilalihan itu dijangka selesai pada separuh kedua 2022 dan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih Scientex bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai 2023.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon