B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Sasaran RMK12 dapat dicapai melalui kerjasama kerajaan dan sektor perniagaan

Sasaran RMK12 dapat dicapai melalui kerjasama kerajaan dan sektor perniagaan

28 Sep 2021

Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) yakin sasaran dan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dapat dicapai melalui kerjasama dan rundingan yang erat antara kerajaan dan sektor perniagaan, terutamanya sektor pembuatan.

Presidennya, Tan Sri Soh Thian Lai berkata pemangkin dasar RMK12 dapat memastikan Malaysia akan mencapai pertumbuhan ekonomi tahunan yang disasarkan sebanyak 4.5 peratus – 5.5 peratus dan menyokong sektor pembuatan, yang diunjurkan akan mencapai purata pertumbuhan sebanyak 5.7 peratus dalam tempoh tersebut.

Empat pemangkin dasar itu ialah membangunkan bakat masa hadapan; mempercepat penerimagunaan teknologi dan inovasi; menambah baik ketersambungan dan infrastruktur pengangkutan serta memperkukuh perkhidmatan awam.

“FMM amat yakin bahawa sebagai pemangkin utama pertumbuhan dengan hubungan huluan dan hiliran yang luas dalam rantaian nilai, sektor pembuatan dapat menyumbang dengan lebih baik dalam membantu mencapai strategi produktiviti, pelaburan, meningkatkan rantaian nilai dan mengukuhkan eksport,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Oleh itu, FMM menggesa kerajaan untuk terus menyokong sektor ini dengan memastikan persekitaran operasi dan pelaburan yang mesra perniagaan melalui pengurangan beban dan kos pengawalseliaan yang tidak perlu serta persaingan yang lebih setara untuk memudahkan persaingan yang adil dan terbuka.

“Keutamaan haruslah menyokong dan menggalakkan pengembangan sektor pembuatan dan perkhidmatan berkaitan pembuatan membolehkan untuk mendapat pulangan lebih tinggi untuk memulihkan ekonomi, meningkatkan kemampanan perniagaan, memastikan jaminan pekerjaan dan untuk pertumbuhan jangka sederhana dan panjang,” katanya.

Soh berkata FMM berharap dapat menjalin hubungan erat dengan kerajaan dalam program dan inisiatif yang berkaitan antaranya di bawah bidang keutamaan strategik.

Beliau berkata FMM gembira apabila mendapati kerajaan menekankan inisiatif untuk menyokong sektor swasta, termasuk sektor pembuatan, seperti memangkinkan industri strategik dan berimpak tinggi yang akan dapat menarik pelaburan berkualiti tinggi dan memperluas asas eksport dan penyertaan dalam rantaian nilai global.

Katanya insentif sedia ada akan turut dikaji semula untuk memberi tumpuan kepada pelaburan berdasarkan teknologi maju dan memenuhi aspek kelestarian alam sekitar.

Soh juga berkata perdagangan antarabangsa akan diperkukuh dengan mengenal pasti pasaran dan produk baharu, meningkatkan daya saing industri eksport utama selain menggalakkan kerjasama perdagangan melalui ratifikasi perjanjian perdagangan bebas baharu seperti Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).  

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon