RMK12 bakal jadi pemangkin pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan
28 Sep 2021
Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) akan menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi yang mampan untuk Malaysia setelah pandemik COVID-19 merencatkan usaha-usaha yang telah dilaksanakan selama ini.
Menteri Kanan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata perencanaan komprehensif RMK12 akan melonjakkan ekonomi ke tahap lebih tinggi, menjana pertumbuhan rancak serta mampu mencipta kekayaan untuk dikongsi oleh Keluarga Malaysia.
Katanya RMK12 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Dewan Rakyat semalam adalah lanjutan usaha gigih bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memulakan libat urus dengan pelbagai pihak sebagai langkah yang inklusif.
Katanya peruntukan sebanyak RM400 bilion menzahirkan komitmen kerajaan untuk mendepani cabaran-cabaran ekonomi global yang dinamik.
“RMK12 mengunjurkan sasaran jumlah purata pelaburan swasta setiap tahun sebanyak RM258 bilion dan untuk mencapai sasaran ini, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan memperkukuhkan asas-asas ekonomi negara dengan memberi tumpuan dalam usaha menggalakkan perdagangan dan pelaburan terbuka, telus serta mesra-perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohamed Azmin berkata kerajaan juga akan meratifikasi Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang akan memberi akses pasaran yang lebih luas kepada industri tempatan.
Beliau berkata perancangan lima tahun itu juga memberi penekanan kepada pembangunan pertumbuhan sektor baharu dalam mencerdaskan ekonomi negara yang selari dengan usaha MITI termasuk pembangunan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR), elemen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), industri Halal dan Aeroangkasa.
“Ini adalah bertepatan dengan Dasar Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) untuk menarik pelabur asing (FDI) yang berimpak dan berteknologi tinggi bagi meningkatkan daya saing dan tarikan Malaysia sebagai hab pelaburan serantau,” jelas beliau.
Beliau berkata penegasan perdana menteri dalam menjadikan Malaysia negara neutral karbon seawal tahun 2050 adalah sejajar dengan teras NIA bagi mempercepatkan pertumbuhan hijau dengan memberi lebih penekanan terhadap ESG.
Dalam melaksanakan usaha ini, katanya, MITI memberi keutamaan kepada usaha memperkukuhkan ekosistem bagi pembangunan kenderaan kenderaan cekap tenaga (EEV) termasuk kenderaan elektrik (EV).
Ini meliputi pembuatan komponen kritikal, penetapan piawaian dan menggalakkan aktiviti keupayaan dan kemampuan penyelidikan untuk membangunkan teknologi tempatan.
“Bagi memastikan pertumbuhan sektor baharu yang inklusif, perusahaan mikro kecil sederhana (PMKS) turut diberikan perhatian utama bagi mengadaptasi perniagaan mereka kepada automasi, teknologi dan digitalisasi demi kelangsungan perniagaan.
“Memandangkan PMKS merupakan tulang belakang kepada ekonomi negara, maka RMK12 juga mensasarkan untuk meningkatkan sumbangan KDNK sektor ini kepada 45 peratus,” katanya.
MITI menyediakan pelbagai kemudahan bertujuan membantu PMKS seperti skim pembiayaan mudah melalui MIDF.
Pemerkasaan PMKS melalui pendigitalan akan menyuntik dinamisme dalam seluruh rantaian ekonomi khususnya ke kawasan luar bandar selari dengan matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang terus membangun secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif.
“Walaupun landskap pelaburan dan perdagangan kekal mencabar dan kompetitif, saya yakin RMK12 berada di landasan yang tepat didokong dengan Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang telah menggariskan beberapa langkah proaktif untuk menggerakkan agenda pemulihan ekonomi dan menjamin pertumbuhan yang mampan,” tambah beliau.
Sumber: Bernama