B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Sarawak sasar jadi pembekal utama tenaga boleh diperbaharui – Abang Johari

Sarawak sasar jadi pembekal utama tenaga boleh diperbaharui – Abang Johari

21 Feb 2022

Sarawak berhasrat mencapai pertumbuhan dan kemakmuran mampan dengan menjadi kuasa besar Asia Tenggara untuk menyediakan tenaga boleh diperbaharui yang mampu dimiliki dan boleh dipercayai, kata Ketua Menteri Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“Sasaran ini boleh dicapai kerana Sarawak memiliki banyak sumber asli, termasuk tenaga hidro dan sumber tenaga asli yang boleh dimanfaatkan manakala inisiatif kemampanan telah dilaksanakan untuk meminimumkan kesan alam sekitar daripada usaha ini.

“Sejak 2016, kita telah mengeksport kebanyakan tenaga elektrik boleh diperbaharui ke Kalimantan Barat (Indonesia) dan dalam masa terdekat kita akan memulakan eksport tenaga ke Sabah dan menyasarkan untuk merealisasikan Grid Borneo dan menjadi Battery of ASEAN,” katanya pada sesi Townhall Sarawak Energy Centenary di sini hari ini.

Beliau berkata Sarawak Energy iaitu syarikat bekalan kuasa milik kerajaan Sarawak, sedang menyediakan keputusan akhir berkaitan pelaburan untuk memulakan projek pembangunan hidroelektrik di Kalimantan Utara yang apabila direalisasikan, akan menyumbang kepada kebolehpercayaan bekalan serantau, pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran.

Beliau berkata keperluan bekalan rakyat Sarawak khususnya di kawasan luar bandar terus diberi penekanan sewajarnya kerana mereka perlu dilengkapi dengan infrastruktur dan kemudahan asas untuk menyertai aktiviti mencipta kekayaan dan meningkatkan taraf hidup mereka.

Abang Johari berkata hanya 56 peratus penduduk luar bandar Sarawak menikmati bekalan elektrik 24 jam pada 2009 namun kadar itu telah meningkat kepada 97 peratus setakat ini, melalui pelaksanaan penyelesaian grid dan luar grid merangkumi sistem tenaga solar dan mikrohidro.

“Oleh itu, bagi mengurangkan jurang antara masyarakat bandar dan luar bandar, kerajaan Sarawak telah meningkatkan pembangunan sosioekonomi dan transformasi luar bandar bagi memastikan Sarawak dapat menjana pertumbuhan serta mencapai pembangunan ekonomi lebih seimbang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy Datuk Sharbini Suhaili ketika ditemui selepas majlis berkenaan berkata, rancangan syarikat itu di Kalimantan Utara masih dalam peringkat kajian kemungkinan dijalankan bersama syarikat Indonesia, PT Kayan Hydropower Nusantara.

Katanya, cadangan berkenaan adalah untuk membangunkan Loji Hidroelektrik Mentarang Induk di Sungai Mentarang terletak kira-kira 35 kilometer di hulu Kota Malinau di Wilayah Kalimantan Utara.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon