B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Minat Turki wujudkan hubungan perdagangan langsung dialu-alukan — Ketua Menteri

Minat Turki wujudkan hubungan perdagangan langsung dialu-alukan — Ketua Menteri

21 Feb 2022

Kerajaan Sabah mengalu-alukan minat yang ditunjukkan oleh Turki untuk mewujudkan hubungan perdagangan secara langsung dengan negeri itu, kata Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor.

“Kami mengalu-alukan idea itu dan kerajaan Sabah akan melakukan yang terbaik untuk memudahkan pelaburan dari Turki,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas mengadakan pertemuan dengan Duta Besar Turki ke Malaysia, Dr Merve Safa Kavakci di Menara Kinabalu di sini hari ini.

Pada pertemuan itu, Kavakci memberitahu Hajiji bahawa Turki menganggap Sabah sebagai pintu masuk ke rantau ASEAN dan bukan hanya sebagai salah satu negeri di Malaysia semata-mata.

Beliau berkata delegasi perniagaan Turki akan melawat Kuala Lumpur pada Mac, dan beberapa ahli perniagaan itu akan datang ke Sabah untuk mencari usaha pelaburan.

Kavakci berkata selain inisiatif perdagangan dan pendidikan, beliau berhasrat untuk mempromosikan tarikan pelancongan Sabah bukan sahaja di Turki tetapi juga dalam kalangan negara jiran yang mempunyai hubungan dengan Turki.

Rombongan duta besar itu termasuklah Kaunselor Perdagangan  Elif Haliloglu Gungunes, Kaunselor Hal Ehwal Maklumat  dan Pelancongan Begum Sahin, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Safar Untung, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Sabah Datuk Madiyem Layapan dan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Sabah Jamine Teo.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon