B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Sarawak raih pelaburan bernilai RM23.17 bilion

Sarawak raih pelaburan bernilai RM23.17 bilion

26 Mei 2022

Sarawak berjaya menarik pelaburan bernilai RM23.17 bilion membabitkan 117 projek biarpun dalam persekitaran global yang mencabar akibat pandemik COVID-19 sejak dua tahun lepas, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan negeri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Beliau berkata, pelaburan berjumlah RM16.08 bilion telah diluluskan pada 2020 dan seterusnya RM7.09 bilion pada tahun berikutnya dengan kesemua pelaburan tersebut dijangka mewujudkan lebih daripada 11,000 peluang pekerjaan.

“Para pelabur kekal yakin terhadap kepimpinan politik Sarawak yang menguruskan ekonomi negeri dengan baik biarpun ketika tempoh sukar.

“Usaha awal yang telah diambil bagi meminimumkan gangguan ke atas sektor ekonomi juga terbukti berkesan,” katanya dalam ucapan penggulungan kementerian beliau bagi usul ucapan terima kasih terhadap titah perasmian Yang di-Pertua Negeri Sarawak bagi persidangan Dewan Undangan Negeri di sini.

Awang Tengah yang juga Timbalan Premier Sarawak berkata, antara projek-projek utama yang diluluskan pada 2020 meliputi produk logam asas bagi keluli gred tinggi dengan jumlah komited sebanyak RM13.8 bilion dan produk tenaga boleh diperbaharui melibatkan pelaburan bernilai RM250 juta.

Pada tahun lepas, komitmen pelaburan berjumlah RM4.2 bilion melibatkan produk-produk elektrikal dan elektronik (E&E), produk kimia dan berasaskannya (RM1.4 bilion), produk logam asas (RM938 juta), perkhidmatan logistik dan gudang simpanan (RM93 juta) dan produk mineral bukan metalik (RM86 juta).

Beliau berkata, dua projek pengembangan baharu bernilai RM2.1 bilion di Zon Perindustrian Bebas Sama Jaya telah diluluskan pada tahun ini dan syarikat terbabit telah memulakan pembinaan kilang pembuatan bagi produk E&E.

Selain itu, sebanyak 16 projek bernilai RM75 juta telah diluluskan yang turut melibatkan pengeluaran produk minuman, logistik dan perkhidmatan gudang, produk kayu dan berasaskannya serta produk logam asas, kata beliau.  

“Pelaburan ini dijangka mewujudkan lebih daripada 2,100 peluang pekerjaan di negeri ini,” katanya.

Source: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon