B. Malaysia
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Sarawak kuasa baharu dalam tenaga boleh diperbaharui – Abang Johari

Sarawak kuasa baharu dalam tenaga boleh diperbaharui – Abang Johari

10 Mei 2022

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyifatkan negeri itu sebagai kuasa baharu dalam arena tenaga boleh diperbaharui dan kini membuka sempadannya untuk membantu industri tradisional menjadi lebih mampan.

Memandangkan hidrogen adalah antara sektor yang akan dibangunkan, beliau berkata kerajaan negeri secara khusus telah mengetengahkan tenaga boleh diperbaharui sebagai asas kepada pelan pembangunan 10 tahunnya iaitu Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.

“PCDS 2030 adalah lebih daripada sekadar pelan tindakan dalaman kami untuk membentuk ekonomi kami. Ia adalah pendekatan pelbagai aspek ke arah kemampanan ekonomi, sosial dan alam sekitar dalam jangka panjang, yang dibina berdasarkan aspirasi kami untuk bekerjasama dengan penggubal dasar dan sektor swasta di dalam mahupun di luar pulau kecil kami,” katanya.

Dalam ucaptama di Sidang Kemuncak dan Pameran Hidrogen Dunia 2022 di Rotterdam, Belanda pada Isnin, beliau berkata Sarawak bersedia meneroka dengan lebih lanjut ekonomi hidrogen kerana ia memiliki sumber yang banyak, infrastruktur dan kepakaran yang mencukupi serta rantaian bekalan dan nilai.

“Dengan usaha bersepadu dan inisiatif sebenar, Sarawak menghantar mesej jelas ke seluruh dunia (bahawa) kami ingin Sarawak menjadi wilayah untuk pelaburan bersih dan hijau. Kami mahu industri rendah karbon global yang diservis oleh rantaian bekalan Sarawak,” katanya.

Abang Johari berkata Sarawak pada masa ini merupakan penyedia terbesar tenaga boleh diperbaharui Malaysia untuk hampir tiga juta penduduk di negeri itu dan sebahagian Indonesia di mana 70 peratus daripada jumlah campuran penjanaan adalah daripada sumber kuasa hidro, yang boleh digunakan bagi menghasilkan hidrogen rendah karbon.

“Ini menyediakan persekitaran yang ideal bagi membolehkan ekonomi hidrogen di Sarawak dan kajian dimulakan sebagai langkah perintis bagi meneroka, berinovasi dan menghasilkan hidrogen hijau sebagai penyelesaian untuk aplikasi komersial serta awam,” katanya.

Beliau berkata pada 2018, syarikat utiliti Sarawak Energy Berhad telah berjaya membina loji pengeluaran hidrogen bersepadu pertama di Asia Tenggara dengan kapasiti pengeluaran 130 kilogram sehari dan stesen pengisian semula bagi menampung sehingga lima bas dan 10 kereta sehari.

“Berbekalkan kemudahan hidrogen perintis ini, Sarawak mula bergerak ke arah pembangunan tenaga hijau pada masa akan datang bagi sektor penghantaran bagi Sarawak dan rantau Asia Pasifik. Ia kini berfungsi sebagai stesen pengisian semula minyak untuk bas elektrik sel bahan api hidrogen pertama Sarawak.

Agensi pembangunan dan pelaburan kerajaan negeri SEDC Sarawak turut berkolaborasi dengan Pusat Inovasi Aeroangkasa Malaysia (AMIC) untuk membangunkan biofuel, hidrogen hijau dan sel bahan api bagi penerbangan atau Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF).

Abang Johari berkata bahan api penerbangan alternatif seperti SAF boleh menjadi kunci kepada perjalanan udara yang mampan, menyumbang kepada strategi pengurangan pelepasan industri dan matlamat pelepasan sifar bersih.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X