B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Perjanjian Kerajaan dan CSP buka potensi pelaburan sehingga RM15 bilion – PM Ismail Sabri

Perjanjian Kerajaan dan CSP buka potensi pelaburan sehingga RM15 bilion – PM Ismail Sabri

09 Mei 2022

Perjanjian Kontrak Berpusat Pengkomputeran Awan (CFA) antara Kerajaan dengan empat syarikat Penyedia Perkhidmatan Awan (CSP) adalah khusus bagi memperkasa MyGovCloud, dalam penyediaan perkhidmatan Public Cloud, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, penglibatan empat CSP melalui anak syarikat masing-masing, membuka potensi pelaburan dalam negara bernilai RM12 bilion hingga RM15 bilion menjelang 2025.

Pelaburan itu, katanya lagi, menjadi ‘tulang belakang’ kepada pembentukan sebuah ekosistem digital yang mampan untuk mencapai pertumbuhan ekonomi yang lestari, sekali gus bakal menjadikan Malaysia sebagai hab digital utama di rantau ASEAN.

“Inisiatif MyGovCloud diyakini dapat melahirkan lebih ramai pakar pengkomputeran awan menerusi latihan berterusan dan program pensijilan yang disediakan oleh CSP dan MSP. Ini juga dapat meningkatkan kompetensi dan keupayaan penjawat awam seiring dengan keperluan dan teknologi semasa.

“Melalui pelaksanaan CFA, agensi sektor awam akan dapat menikmati perkhidmatan CLOUD yang lebih baik, cepat, cekap dan bersasar pada harga yang kompetitif menerusi tawaran diskaun pukal oleh CSP dan MSP,” Perdana Menteri berkata dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, beliau menyaksikan ini pemeteraian CFA antara Kerajaan Persekutuan dan empat CSP, iaitu Telekom Malaysia Bhd, Microsoft (Malaysia) Sdn Bhd, Amazon Web Services Malaysia Sdn Bhd, dan Google Cloud Malaysia Sdn Bhd.

Melalui majlis tersebut, Ketua Pengarah MAMPU Datuk Seri Yusof Ismail, telah bertukar dokumen perjanjian dengan wakil dari empat anak syarikat CSP yang terlibat, iaitu Radmik Solutions Sdn Bhd di bawah Amazon, Cloud Connect Sdn Bhd (TM), Enfrasys Solutions Sdn Bhd (Microsoft), dan Awantec System Sdn Bhd (Google).

Selain Perdana Menteri, yang turut menyaksikan pertukaran dokumen itu ialah Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Mohd Zafrul Tengku Abdul Aziz, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, serta pegawai kanan kerajaan.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, Kerajaan memperkenalkan perkhidmatan bersepadu dikenali sebagai government hybrid cloud atau MyGovCloud yang menggabungkan perkhidmatan MyGovCloud@PDSA dan Public Cloud oleh Cloud Service Provider (CSP).

Inisiatif MyGovCloud, jelasnya lagi, seiring dengan Inisiatif Kelima di bawah Teras 1 Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital), yang menyasarkan 80 peratus penggunaan storan Pengkomputeran Awan merentas sektor awam pada tahun ini.

“Ia bertujuan memacu transformasi digital sektor awam secara holistik yang dapat merangsang pertumbuhan ekonomi digital dan agenda pendigitalan ke seluruh negara.

“Pemilihan CSP dibuat selepas syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan dalam dan luar negara mengemukakan cadangan (Request for Proposal atau RFP) sebelum penilaian dibuat secara telus melibatkan pelbagai pihak,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, perjanjian CFA merupakan satu inovasi dalam perolehan perkhidmatan CLOUD di semua agensi sektor awam, seiring dengan pengukuhan fungsi dan peranan MAMPU pada masa hadapan.

“Dengan termeterai perjanjian ini, saya berharap lebih banyak manfaat bakal dinikmati oleh rakyat secara amnya dan seluruh agensi sektor awam khasnya, bagi merancakkan pembangunan teknologi dan ekonomi digital kepada seluruh Keluarga Malaysia,” katanya lagi.

Sumber: Astro Awani

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon