B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Sarawak Energy, Pestech meterai perjanjian teroka tenaga alternatif boleh diperbaharui

Sarawak Energy, Pestech meterai perjanjian teroka tenaga alternatif boleh diperbaharui

17 Jul 2021

Sarawak Energy Berhad (Sarawak Energy) menandatangani perjanjian dengan Pestech International Bhd melalui anak syarikatnya Pestech Energy Sdn Bhd untuk bekerjasama dalam projek penyelidikan bagi mencari penyelesaian tenaga alternatif yang bersih untuk menggantikan penjana diesel atau penyelesaian penyimpanan tenaga berasaskan kimia lain yang sebahagian besar digunakan pada elektrifikasi di luar bandar.

Majlis menandatangani perjanjian itu diadakan secara maya pada 16 Julai dengan Pengurus Besar Penyelidikan dan Pembangunan Sarawak Energy Dr Ng Sing Muk menandatangani bagi pihak syarikat utiliti milik kerajaan negeri itu manakala Pestech Energy diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Vind Sidhu.

Ia turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Energy Group Datuk Sharbini Suhaili, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan  Pestech International Bhd Paul Lim Pay Chuan serta pengurusan kanan dan kakitangan daripada kedua-dua syarikat.

Sarawak Energy dan Pestech International dalam kenyataan bersama memaklumkan hasil daripada projek itu juga diharapkan dapat menangani isu pelupusan bateri daripada sistem tenaga suria ketika kerajaan Sarawak meneruskan hasratnya untuk menyediakan liputan elektrik penuh di negeri ini menjelang 2025.

Di bawah perjanjian itu, Sarawak Energy dan Pestech Energy akan menjalankan kajian, reka bentuk dan membangunkan penyelesaian hidrogen autonomi boleh cas semula yang akan ditempatkan di Rumah Bangau di daerah Song selama 15 bulan sebagai inisiatif untuk meneroka potensi penyelesaian penyimpanan hidrogen untuk elektrifikasi di kawasan luar bandar.

Sementara itu, Lim dalam ucapannya semasa majlis menandatangani itu berkata Pestech akan memberi sokongan dan komitmen penuh untuk melibatkan diri, menyampaikan dan mengadaptasi inisiatif tenaga boleh diperbaharui untuk masa depan tenaga yang mampan.

“Matlamat kami melangkaui mengelektrifikasi kawasan luar bandar, tetapi juga meninggalkan kesan yang besar kepada pelbagai aspek kehidupan masyarakat, termasuk menyediakan manfaat persekitaran dan ekonomi jangka panjang,” katanya.

Dalam pada itu, Sharbini berkata kerjasama itu juga menyokong hasrat Sarawak Energy untuk menggalakkan inovasi terbuka dalam kerja-kerja penyelidikan dan pembangunan mereka.

“Dengan memupuk idea inovatif dan bekerjasama dengan pakar industri, kami percaya bahawa kami dapat membangun dan menawarkan teknologi baharu yang boleh menggantikan amalan konvensional untuk pengeluaran yang lebih besar dan mampan,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon