B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Bekas duta Sweden, hargai hubungan dua hala Malaysia-Sweden

Bekas duta Sweden, hargai hubungan dua hala Malaysia-Sweden

18 Jul 2021

Satu perkara yang ingin dikongsi bekas Duta Sweden Dag Juhlin-Dannfelt dengan rakyat Malaysia adalah hubungan unik sejak lebih enam dekad antara Malaysia dan Sweden.

Ketika ditemu bual media tempatan, Juhlin-Dannfelt menyifatkan hubungan dua hala kedua-dua negara ibarat Volvo dan Proton.

“Kehadiran Volvo jauh lebih lama berbanding ketika Proton dan Perodua mula diperkenalkan begitulah lamanya hubungan dua hala sudah terjalin.

“Kereta pertama yang dikeluarkan di Malaysia ialah buatan Sweden – Volvo, pada 1967. Kereta pertama yang pernah dieksport dari Malaysia sekitar 1969 juga adalah Volvo, menjadikan Malaysia sebagai pusat serantau kami pada masa itu.

“Sekarang, Volvo dan Proton seperti sepupu! amat rapat,” kata Juhlin-Dannfelt, merujuk kedua-duanya kini di bawah Geely dan bagaimana hubungan dua hala berkembang sejal bertahun-tahun lamanya.

Bercakap kepada Bernama baru-baru ini, Juhlin-Dannfelt berasa amat bertuah kerana berpeluang menikmati banyak pengalaman berharga sepanjang berada di Malaysia sebaik menyerahkan watikah pelantikannya pada 2 Disember 2016.

“Saya amat suka dengan Malaysia. Saya mempunyai pengalaman lima tahun yang menarik dengan tiga kerajaan berbeza serta tiga Raja berbeza.

“Kita mungkin tidak sepakat dalam semua isu, tetapi tulang belakang utama hubungan kita ialah perdagangan,” katanya.

Kira-kira 100 syarikat Sweden dan komersial yang berkaitan berada di Malaysia. Ada ruang pelaburan yang besar di negara ini kerana iklim perniagaan sangat menggalakkan bagi kedua-dua pihak.

Malaysia, “negara berbakat” dan mempunyai kelebihan untuk muncul sebuah negara berjaya, katanya.

Menyentuh mengenai pandemik COVID-19, walaupun Malaysia menghadapi saat yang sukar sekarang, beliau yakin negara ini mampu menepis semua cabaran dan memuji pelbagai usaha yang dilaksanakan kerajaan.

Sempena majlis perpisahan secara digital dengan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah baru-baru ini, beliau memuji usaha kementerian selain berbincang beberapa perkara termasuk inisiatif kesihatan digital dan kerjasama penyelidikan dan pembanguan (R&D) antara institusi penyelidikan klinikal kedua-dua negara.

“Saya kagum dengan pencapaian kerajaan Malaysia berbanding di negara saya sendiri. Di Sweden terdapat kira-kira 15,000 korban dan hampir satu juta dijangkiti virus itu (hampir 10 peratus daripada jumlah penduduk).

“Memandangkan jumlah penduduk Malaysia adalah tiga kali ganda berbanding jumlah penduduk Sweden, saya rasa keseluruhan rekod Malaysia cukup baik,” kata Juhlin-Dannfelt.

Menyentuh mengenai peningkatan kes baharu setiap hari di negara ini, beliau berkata pandemik itu sendiri satu cabaran buat manusia sejagat, dan negara seperti Sweden serta Kesatuan Eropah (EU) sudah pasti akan memberikan bantuan tambahan.

Hubungan diplomatik kedua-dua negara terjalin pada 1958, dengan penubuhan kedutaan di ibu negara Stockholm dan Kuala Lumpur.

Selepas hampir enam tahun berada di Malaysia, Juhlin-Dannfelt akan kembali mencurahkan khidmatnya di Kementerian Luar di negara kelahirannya dan sudah pasti “cintanya terhadap Malaysia” akan kekal terpahat dalam dirinya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon