B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Sarawak akan kongsi pengalaman terokai ekonomi baharu

Sarawak akan kongsi pengalaman terokai ekonomi baharu

18 Apr 2022

Sarawak akan berkongsi pengalamannya dengan beberapa negara berhubung usaha menerokai ekonomi bentuk baharu dengan matlamat utama membawa negeri itu ke arah pembangunan ekonomi yang pesat.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata beliau akan berucap di Singapura minggu depan sebelum ke Rotterdam, Belanda pada awal bulan Mei.

Bagaimanapun, Abang Johari tidak menjelaskan secara terperinci mengenai acara di mana beliau akan berucap.

“Sekarang negara lain mengenali usaha Sarawak dan menjemput saya untuk berkongsi serba sedikit pengalaman yang ada dengan mereka sambil meneroka peluang perkongsian,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan sambutan Nuzul Al-Quran peringkat Negeri Sarawak yang berlangsung di Masjid An-Nur di sini malam tadi.

Abang Johari berkata Sarawak, seperti negara lain yang sudah maju, harus menggunakan teknologi untuk meletakkan ekonominya pada tahap tertinggi berdasarkan bidang keilmuan masa kini.

Beliau berkata Sarawak juga melihat usaha dunia untuk mengurangkan pemanasan global sebagai satu peluang yang tidak wujud sebelum ini dan kemudian melahirkan perlumbaan dunia ke arah ekonomi berteraskan bahan bakar yang kurang kandungan karbon.

“Sekiranya tidak mengorak langkah awal dari sekarang, Sarawak akan ketinggalan namun Sarawak telah memulakan langkah awal pada 2017 sebaik sahaja saya mengambil alih tampuk kepimpinan kerajaan,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud serta isteri Toh Puan Raghad Kurdi Taib, isteri Abang Johari iaitu Puan Sri Juma’ani Tun Tuanku Bujang, beberapa menteri dan timbalan menteri Kabinet Sarawak, ketua-ketua jabatan dan pemimpin masyarakat setempat.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon