B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia mahu perkukuh kerjasama ekonomi dengan Thailand

Malaysia mahu perkukuh kerjasama ekonomi dengan Thailand

20 Apr 2022

Malaysia sedang berusaha untuk merangsangkan lagi kerjasama ekonomi dengan Thailand bagi merealisasikan sasaran dagangan dua hala sebanyak AS$30 bilion menjelang 2025, kata Duta Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel.

Beliau yang dalam rangka lawatan kerja ke empat wilayah selatan Thailand – Songkhla, Pattani, Yala dan Narathiwat sejak Selasa berkata, terdapat perkembangan ekonomi di kawasan ini selepas era pasca-COVID-19 .

“Saya telah mengadakan lawatan pengenalan ke selatan Thailand pada 2018. Saya harap lawatan kali ini akan mengeratkan lagi hubungan dengan masyarakat setempat dan komuniti perniagaan di sini.

“Saya berharap lawatan saya dapat mempertingkatkan hubungan dua hala dan kerjasama dengan Thailand,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Jojie turut mempelawa syarikat dan organisasi Thailand untuk menyertai Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS 2022) yang akan diadakan pada September.

Beliau turut menggesa peserta industri untuk mengukuhkan kerjasama dengan menjalinkan lebih banyak kerjasama bagi merangsang pertumbuhan perdagangan sempadan Malaysia-Thailand.

Pada Selasa, Jojie turut mengadakan sesi libat urus dengan Jabatan Kemajuan Ternakan (DLD) dan Dewan Perniagaan Songkhla.

Sempena kunjungan itu, Jojie turut dijadual melawat kemudahan Karex Bhd, pembuat kondom terbesar dunia di Hatyai, Top Glove Medical Co. Ltd di Sadao dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) di Bukit Kayu Hitam pada Rabu.

Selain itu, beliau akan mengadakan kunjungan hormat ke atas Setiausaha Agung Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan, Laksamana Muda Somkeart Ponprayoon di Yala dan melawat Ladang Ketam Chok Udomrat di Pattani pada Khamis.

Pada Jumaat pula beliau dijadual membuat kunjungan hormat ke atas Gabenor Narathiwat, Sanan Pongaksorn dan melawat Jambatan Persahabatan merentasi Sungai Golok dan Rantau Panjang.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon