Sabah rangka Dasar Biojisim untuk kembangkan potensi industri - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Sabah rangka Dasar Biojisim untuk kembangkan potensi industri

Sabah rangka Dasar Biojisim untuk kembangkan potensi industri

09 Ogo 2023

Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah sedang merangka Dasar Biojisim Sabah untuk mengembangkan industri itu dengan meneliti kelebihan biojisim yang boleh menghasilkan produk bernilai tinggi seperti palet bio, bahan api bio dan kimia berasaskan bio di negeri ini.

Menterinya, Phoong Jin Zhe berkata melalui pewujudan dasar itu, kerajaan Sabah bercadang untuk membangunkan sebuah pusat pengumpulan biojisim di samping melantik sebuah syarikat berkaitan kerajaan bagi menguruskan industri berkenaan.

Beliau berkata menerusi pusat pengumpulan itu, sudah pasti pembekalan sumber bahan biojisim yang konsisten dapat diwujudkan seterusnya akan menarik minat pelabur untuk melabur dalam industri ini di Sabah.

“Lanjutan daripada pewujudan dasar ini, kerajaan negeri juga bercadang untuk mewujudkan enakmen berkaitan biojisim agar kuasa kawal selia berkaitan industri ini terletak di bawah kerajaan negeri kerana pada masa ini ia tidak dikawal selia oleh mana-mana pihak.

“Penerokaan biojisim ini dilihat mempunyai pelbagai potensi dan mampu memberi manfaat terutama dalam sektor tenaga hijau atau tenaga boleh baharu serta industri hiliran berkaitan,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Dr Daud Yusof (Warisan-Bongawan) yang ingin tahu manfaat tenaga hijau seperti biogas dan biojisim daripada industri sawit.

Sementara itu, Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Fairuz Renddan berkata sebanyak 2,893 usahawan belia telah menerima dana bantuan memulakan perniagaan melalui Skim Jaya Usahawan Belia Sabah setakat ini, dan skim itu akan diteruskan manakala permohonannya akan dibuka tidak lama lagi.

Beliau menjawab soalan Datuk Annuar Ayub (GRS-Liawan) mengenai langkah kerajaan untuk membantu golongan belia dan jumlah usahawan kecil Sabah yang telah mendapat sijil pengiktirafan halal untuk produk mereka.

Fairuz berkata sebanyak 510 syarikat di negeri itu telah diberi sijil halal berdasarkan maklumat daripada Majlis Ugama Islam Sabah.

Sebanyak 398 daripada jumlah itu ialah syarikat yang mengendalikan premis makanan, diikuti 87 (pengeluar produk makanan dan minuman), 13 (logistik), tujuh (pengilang kontrak), tiga (rumah sembelihan) dan dua syarikat mengeluarkan barang gunaan, katanya. 

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon