Sabah berpotensi tarik pelaburan - Muhyiddin - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Sabah berpotensi tarik pelaburan – Muhyiddin

Sabah berpotensi tarik pelaburan – Muhyiddin

22 Mac 2021

Sabah mempunyai potensi amat besar untuk menarik pelaburan dari dalam dan luar negara berikutan kedudukannya yang strategik di rantau ini, selain mempunyai kekayaan sumber asli, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata, ini dapat dibuktikan antara lain dengan Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar di Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur-Brunei-Indonesia-Malaysia (BIMP-EAGA) yang berpotensi menarik pelaburan asing bagi meningkatkan peluang pekerjaan dan taraf sosioekonomi rakyat di Sabah.

“Saya difahamkan jumlah perdagangan di Sabah pada tahun 2020 mencecah RM79.5 bilion iaitu nilai eksport sebanyak RM41.4 bilion dan import sebanyak RM38.1 bilion.

“Kelulusan pelaburan dalam sektor pengilangan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk Sabah pada 2020 ialah RM11.95 bilion bagi melaksanakan 15 projek,” katanya ketika merasmikan Sesi Balai Rakyat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.

Sehubungan itu, Muhyiddin berkata, kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan terus bekerjasama erat dengan Kerajaan Sabah demi memastikan ekosistem yang lengkap untuk menyokong pembangunan industri seperti perkilangan serta pembuatan.

Pada masa sama, katanya, Sabah turut berpotensi dalam pembangunan industri aeroangkasa selari dengan Pelan Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia 2030.

“Sebagai contoh, Pejabat Penyelaras Industri Aeroangkasa Kebangsaan (NAICO) mencadangkan Kota Kinabalu sebagai kluster aeroangkasa dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

“Pelaburan ini mampu mewujudkan lebih 1,500 peluang pekerjaan untuk rakyat Sabah, selain memberi impak positif kepada sektor lain di Sabah susulan peningkatan rantaian pelaburan,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon