B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


BTC KLIA sedia kemudahan untuk pengembara perniagaan asing

BTC KLIA sedia kemudahan untuk pengembara perniagaan asing

23 Mac 2021

Sebuah Pusat Pengembara Perniagaan (BTC) telah diwujudkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi memudahkan kemasukan kelompok pengembara perniagaan asing ke negara ini.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, BTC adalah antara komponen utama inisiatif Pusat Sehenti (OSC) yang diwujudkan kerajaan bagi kelancaran pergerakan serta mempermudah kemasukan pengembara bagi tujuan perniagaan di Malaysia.

Malah, katanya, setakat ini OSC telah meluluskan sebanyak 93 permohonan daripada syarikat-syarikat pelaburan untuk pengembara perniagaan jangka pendek yang membabitkan pelaburan bernilai RM15 bilion.

“Antara kemudahan bagi pengembara perniagaan jangka pendek itu termasuk sistem sokongan yang lancar menerusi perkhidmatan bercirikan ‘fast-track’ atau pantas seperti transkripsi ujian RT-PCR Covid-19 yang membolehkan keputusan diperoleh dalam masa tiga jam.

“Selepas disahkan sihat, mereka boleh berurusan dengan imigresen dan kerajaan akan melantik pegawai seranta untuk mereka yang mempunyai jadual perniagaan khusus,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan kemudahan BTC itu di KLIA, pada Selasa.

Pengembara perniagaan jangka pendek adalah kepada mereka yang tidak mempunyai sebarang pas kemasukan khusus dan berhasrat untuk berada di negara ini bagi tempoh 14 hari atau kurang, tertakluk kepada kelulusan oleh jawatankuasa OSC dan pematuhan ketat terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Mengulas selanjutnya, Mohamed Azmin juga menyifatkan pelancaran BTC sebagai pencapaian bermakna dalam usaha berterusan kerajaan untuk merancakkan semula ekonomi dan seterusnya mencatat pemulihan pada tahun ini.

“Kita sedar pandemik Covid-19 ini masih ada namun kita kini berupaya menguruskan risiko dengan lebih baik serta berpengalaman mengendalikan keseimbangan antara kesihatan dan ekonomi,” katanya.

Menurutnya, BTC yang berasaskan pendekatan di Singapura, Korea Selatan dan di Kesatuan Eropah, juga berperanan penting bagi memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan menarik untuk perniagaan asing.

“Sejak setahun lalu, kita telah melaksanakan pendekatan baharu termasuk kaedah secara maya bagi mengadakan perbincangan untuk menarik pelabur asing.

“Namun, tidak dinafikan rundingan itu adalah lebih berkesan jika dapat dijalankan secara bersemuka,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon