B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


RMK12 perlihat kesungguhan kerajaan keluarkan negara daripada kemelut pandemik — Ahli ekonomi

RMK12 perlihat kesungguhan kerajaan keluarkan negara daripada kemelut pandemik — Ahli ekonomi

27 Sep 2021

Perbentangan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) memperlihatkan kesungguhan  kerajaan dalam usaha memastikan negara dapat keluar daripada kemelut pandemik COVID-19 dengan lebih tuntas, kata ahli ekonomi.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata negara telahpun terkesan dengan pelbagai permasalahan ekonomi sebelum pandemik melanda lagi terutamanya dari segi daya saing susulan perang perdagangan Amerika Syarikat dan China.

“Namun apabila berlaku pandemik COVID-19 yang tidak dijangka, ianya makin menampakkan permasalahan ekonomi tersebut.

“RMK12 seharusnya cuba mengambil peluang yang ada ini untuk “reset” (menjana semula) kerangka ekonomi negara,” katanya dalam rancangan liputan khas Bernama TV sempena perbentangan RMK12 bertajuk “RMK12: Reformasi Ekonomi Fasa Endemik” hari ini.

Melalui RMK12 bagi tempoh 2021 hingga 2025, kerajaan menyasarkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara 4.5 hingga 5.5 peratus setiap tahun.

Mengenai sasaran KDNK, Mohd Afzanizam berpendapat jika dibandingkan dengan pertumbuhan purata sekitar 2.7 peratus dalam tempoh RMK11 dari 2016 hingga 2020, ia boleh dianggap satu lonjakan pertumbuhan ekonomi yang tinggi.

Bagi pertumbuhan ekonomi yang lebih baik, katanya, ia perlu tumbuh dalam keadaan lebih berkualiti dengan mengambil kira faktor teknologi terkini serta sektor yang berdaya saing seperti elektronik dan elektrikal.

Menerusi RMK12 yang dibentangkan hari ini peruntukan perbelanjaan pembangunan dilihat tertinggi dalam sejarah sekitar RM400 bilion berbanding sekitar RM220 bilion dalam RMK11, katanya.

“Dalam tempoh RMK12 yang berbaki empat tahun kerana setahun pertama  telahpun berlalu, bagi memastikan sasaran KDNK dapat dicapai dengan baik, perbelanjaan pembangunan yang baik adalah pra-syarat utama bagi mencapai sasaran ekonomi itu.

“Walaupun perbelanjaan pembangunan itu secara dasar adalah besar, tetapi dalam merealisasikan kesan positif dari segi kesan rantaian “multiply effect” (kesan pelbagai) dalam perbelanjaan itu, adalah dari segi pelaksanaannya,” jelasnya.

Mohd Afzanizam berkata perancangan dan koordinasi agensi awam serta kementerian perlu dilaksanakan dengan baik supaya setiap projek pembangunan dapat dijalankan dalam kadar yang betul, tempoh masa yang tepat dan hasilnya dapat dilihat dalam masa terdekat.

Sementara itu, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff daripada Putra Business School (PBS) berkata pertumbuhan purata sektor perkhidmatan dan sektor perkilangan  realistik untuk dicapai kerana kedua-dua sektor ini sentiasa kekal kukuh sejak pandemik sehingga sekarang dan masih menunjukkan peningkatan positif. 

Bagaimanapun, beliau berkata jangkaan bagi pertumbuhan sektor pertanian agak sedikit rendah iaitu sekitar 3.8 peratus bagi tempoh lima tahun akan datang.

“Saya melihat mungkin perlu ada lagi usaha untuk meningkatkan pertumbuhan sektor pertanian kerana tahun ini kita akan ada dasar agromakanan yang baharu dan kita boleh menambahkan lagi produktiviti dalam sektor pertanian agar tidak lagi bergantung kepada barangan import,” katanya dalam program yang sama.

Mengulas mengenai usaha kerajaan untuk meningkatkan purata pendapatan isi rumah kepada RM10,000, Ahmed Razman berkata sasaran itu agak tinggi tetapi masih boleh dicapai.

“Peningkatan pendapatan isi rumah daripada RM7,000 kepada RM10,000 dalam masa lima tahun ini agak tinggi sasarannya tetapi inilah yang perlu kita cuba.

“Sebenarnya bukan lihat kepada purata sahaja tetapi juga indikator penengah kerana purata ini boleh nampak tinggi tetapi kalau lihat penengah, pendapatannya hanya lebih kurang RM5,800 sahaja,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon