B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


RMK12: Peranan pihak berkuasa koridor dipertingkat

RMK12: Peranan pihak berkuasa koridor dipertingkat

17 Jan 2022

Peranan pihak berkuasa koridor akan dipertingkat dalam proses mempercepatkan pembangunan strategik wilayah ekonomi di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, tumpuan akan diberikan kepada pelaksanaan projek berimpak tinggi untuk menarik pelaburan berkualiti di lima wilayah koridor sedia ada dalam usaha mengecilkan jurang pembangunan antara wilayah ekonomi di seluruh negara.

Koridor terbabit ialah Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), Koridor Pembangunan Sabah (SDC), Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) dan Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE).

Mustapa berkata, jurang pembangunan antara wilayah terus melebar dengan Wilayah Tengah menyumbang sebanyak 46.9 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nasional.

“Dalam tempoh RMK11, KDNK Wilayah Tengah berkembang sebanyak 3.7 peratus setahun, melebihi purata nasional 2.7 peratus setahun, manakala Wilayah Timur berkembang 2.3 peratus setahun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi webinar ‘RMK12: Peranan Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Koridor Dalam Pembangunan Wilayah dan Negara,’ anjuran Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).

Menurut Mustapa, sebuah pasukan pemantau akan ditubuhkan dengan keanggotaan daripada ahli akademik, pihak kerajaan dan swasta untuk memberikan fokus dalam memastikan kejayaan pelaksanaan RMK12.

“Kita tubuhkan pasukan ini yang komited dalam perancangan dan kita harap kumpulan ini akan memberi perhatian serius untuk memastikan pada 2025, kita benar-benar mencapai status sebagai negara berpendapatan tinggi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Baidzawi Che Mat berkata, fokus utama agensi itu kini adalah memastikan penduduk di kawasan Pantai Timur dapat mengekalkan pekerjaan ekoran pandemik Covid-19 yang melanda negara ketika ini, di samping menarik lebih ramai pelabur ke wilayah itu.

“Melalui Pelan Induk ECERDC 2.0 untuk tempoh 2018-2025, kami meletakkan sasaran yang jelas untuk membawa pelaburan sebanyak RM70 bilion ke wilayah ini serta menyediakan 120,000 peluang pekerjaan dan mewujudkan 60,000 peluang perniagaan menjelang 2025.

“Justeru, tahun ini ialah tahun yang sangat penting kerana melalui RMK12 yang dirancang untuk kesejahteraan rakyat, kita ingin kembalikan keyakinan pelabur dalam memastikan rakyat terus mendapat pekerjaan dan mampu menjana pendapatan,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon