B. Malaysia
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


NAICO pacu pembangunan ekosistem industri aeroangkasa

NAICO pacu pembangunan ekosistem industri aeroangkasa

17 Jan 2022

Perbadanan Industri Aeroangkasa Kebangsaan Malaysia (NAICO Malaysia), sebuah agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan memacu pembangunan ekosistem industri termasuk memastikan perpaduan serta penyelarasan inisiatif yang dilaksanakan di bawah Rangka Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia (MAIB) 2030 dan Rangka Kerja Industri Aeroangkasa Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

MAIB 2030 berhasrat untuk meletakkan Malaysia sebagai hab aeroangkasa serantau serta sebahagian daripada rantaian bekalan aeroangkasa global manakala RMK12 memberi tumpuan kepada teknologi digital aeroangkasa, Industri 4.0, ekosistem dan pembangunan modal insan.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sebagai agensi pembangunan aeroangkasa negara, NAICO Malaysia akan memanfaatkan pengetahuan rantaian bekalan, pengetahuan teknikal serta pengalaman industri ahli-ahli terkemuka yang akan berkhidmat dalam Lembaga Pemegang Amanah.

“Kerjasama dan perkongsian dengan agensi berkaitan seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan ditingkatkan untuk mengembangkan pelaburan aeroangkasa yang strategik serta berkualiti bagi membantu integrasi serantau dan global rantaian bekalan tempatan, yang mana ianya bakal mewujudkan limpahan peluang untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terutamanya PKS Bumiputera,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurut Mohamed Azmin, aeroangkasa merupakan salah satu daripada tiga bidang tumpuan Transformasi Ekonomi Bumiputera di bawah Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 untuk meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam ekonomi.

Katanya, selain menjadi Pusat Kecemerlangan Aeroangkasa Kebangsaan (COE) bagi menyokong pembangunan ekosistem selaras dengan keperluan industri termasuk membangunkan kepakaran tempatan, NAICO Malaysia akan meningkatkan pembangunan teknologi dan kejuruteraan serta membina kapasiti industri dalam penyelidikan dan inovasi.

“Teknologi canggih dan keupayaan kejuruteraan kepersisan industri aeroangkasa akan berfungsi sebagai pemboleh strategik sambil melengkapkan industri yang relevan seperti elektrik dan elektronik, serta sektor automotif dalam negara.

“Pangkalan data industri aeroangkasa Malaysia yang komprehensif akan menyokong strategi pembangunan industri NAICO Malaysia,” katanya.

MITI juga akan terus menyokong dasar yang berpandangan ke hadapan, inklusif dan mesra perniagaan untuk memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan pilihan bagi industri berimpak tinggi, berteknologi canggih dan kejuruteraan kepersisan.

“Sehubungan itu, satu Memorandum Kerjasama dalam Industri Pesawat akan ditandatangani antara Malaysia dengan Jepun untuk meningkatkan kerjasama dua hala antara industri aeroangkasa kedua-dua negara dalam pembuatan, penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), penyelidikan teknologi serta pembangunan modal insan.

“Dengan pelaksanaan strategi pembangunan industri yang bersepadu dan diselaraskan, industri aeroangkasa Malaysia akan bersedia untuk menyumbang pendapatan tahunan sebanyak RM30 bilion selain mewujudkan 30,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi menjelang 2025,” katanya, sambil menambah bahawa industri itu mencatatkan perolehan RM16.2 bilion dan pekerjaan berkemahiran tinggi untuk lebih daripada 10,000 pekerja tempatan pada 2019.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X